Peluru Berpandu Jatuh Berhampiran Sharon


GAZA, 30/6/2004 – Massej Online – Peluru berpandu yang dilancarkan oleh pejuang Palestin di Semenanjung Gaza telah jatuh 200 meter daripada Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon semasa beliau melawat bandar Sderot.

Seorang pegawai kanan berkata, peluru berpandu tersebut telah jatuh di kawasan terbuka dan tidak melibatkan sebarang kecederaan. Semasa satu mesyuarat dengan gabenor Sderot, Sharon berjanji akan bertindak balas terhadap serangan ini.

“Kami tidak akan membiarkan apa yang terjadi di sini. Perkhidmatan keselamatan telah mula bertindak untuk menghalang serangan peluru berpandu ini. Ini bukanlah satu tugas yang mudah tetapi kami akan mengambil langkah untuk memastikan apa yang berlaku di sini tidak akan berlaku lagi sekarang dan masa hadapan” sebagai dipetik daripada satu kenyataan pejabat Sharon pada hari selasa.

Menteri Keselamatan Shaul Mofaz turut hadir dalam mesyuarat hari itu, yang berlaku sehari selepas roket buatan Hamas, Qassam telah membunuh 2 orang penduduk di bandar tersebut.