PAS kecam tindakan Israel – kenyataan media

Jumaat, 30/06/2006 –

PAS membantah keras kekejaman rejim Zionis Israel yang sedang secara rakus menceroboh bumi Gaza di Palestin tanpa sebarang sifat kemanusiaan serta menangkap beberapa menteri kanan dan ahli-ahli Parlimen kerajaan Hamas.

Insiden ini jelas menunjukkan kebiadapan rejim Zionis Israel yang tidak langsung menghormati undang-undang antarabangsa serta kedaulatan sebuah negara walaupun mendapat bantahan dan kecaman dari pelbagai pihak.


Keangkuhan rejim Zionis ini dapat dilihat dengan jelas apabila mereka memberi alasan menceroboh Gaza bagi menyelamatkan seorang tentera Yahudi yang telah ditawan oleh pejuang-pejuang Palesatin sedangkan mereka telah membunuh ribuan pemuda-pemuda, ibu-ibu serta anak-anak kecil Palestin tanpa sebarang rasa belas kasihan.

PAS melahirkan rasa dukacita terhadap kebanyakan negara-negara Islam dan komitmen sebenar mereka yang tidak lagi mampu memberi pembelaan kepada saudara-saudara mereka di bumi suci Palestin.

Begitu juga dengan kelemahan ketara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab yang sepatutnya menjadi benteng penyelamat kepada umat Islam yang teraniya akibat kekejaman rejim Zionis Israel ini.

PAS ingin menyeru kepada semua negara-negara Islam, OIC, Liga Arab, PBB serta masyarakat antarabangsa agar dapat kembali memainkan peranan mereka bagi membantah sikap biadap rejim Zionis yang telah bertindak melampaui batas-batas kemanusiaan dengan menceroboh serta terus menerus membunuh umat Islam Palestin dengan kejam dan zalim.

PAS menegaskan bahawa ancaman besar kepada keamanan dunia sekarang ialah kuasa besar Amerika Syarikat dan sekutunya yang lantang bercakap membela keadilan dan demokrasi tetapi pada masa yang sama mereka juga menjadi pelindung kepada setiap tindakan kejam rejim Zionis Israel di bumi Palestin walaupun ia bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta boleh menggugat keamanan dunia.

Akhirnya kami menyeru setiap ahli PAS di semua peringkat serta umat Islam seluruhnya agar bersama-sama mengadakan solat hajat, berdoa serta bermunajat memohon pertolongan Allah SWT agar memberi kekuatan serta melindungi saudara-saudara kita di bumi suci Palestin yang terus dilanda ujian yang besar akibat tindakan biadap dan jahat rejim Zionis Israel.


Pejabat Presiden PAS
Jalan Pahang, Off Jalan Pahang Barat
28 Jun 2006/3 Jamadil Akhir 1427