Pengaruh OrganisasiI Pro-Israel Di Washington


Washington,2/8/2004 – MassejOnline – Jawatankuasa Urusan Awam Amerika-Israel (AIPAC) mendakwa bahawa mereka bukan setakat pelobi pro-Israel, tetapi juga merupakan satu kumpulan yang paling berpengaruh dalam melobi hal berkaitan polisi luar di Capitol Hill.

Ramai penganalisi berkaitan Timur Tengah di Washington bersetuju dengan dakwaan tersebut, seperti yang dilaporkan oleh Aljazeera.net. Mereka didakwa sebagai mempunyai pengaruh yang besar dalam Kongres Amerika dan pemilihan tokoh politik.

Ramai pakar melihat bahawa kumpulan politik Arab dan Muslim Amerika hanya baru berada pada peringkat ’embrio’, berbanding dengan kumpulan pro-Israel ini. Mereka tiada sumber kewangan, hubungan dengan kongres serta rangkaian daripada akar umbi yang dapat menandingi pelobi-pelobi pro-Israel yang diketuai oleh AIPAC.

“Jika berkaitan pengaruh, secara perbandingannya, lobi oleh Arab dan Muslim adalah lemah”, kata Samer Shehata, profesor kajian Arab di Georgetown Universiti yang pakar dalam hal berkaitan Polisi Amerika dan Timur Tengah.

Pakar juga mengakui keupayaan AIPAC untuk menambah dana serta menarik sokongan awam untuk menekan anggota-anggota kongress adalah amat besar dan cemerlang berbanding organisasi Arab dan Muslim.

“Mereka adalah salah satu organisasi yang paling berpengaruh dalam melobi di Washington”, kata MJ Rosenberg, bekas editor AIPAC untuk Near East Report dan sekarang merupakan penganalisi polisi untuk Forum Polisi Israel.

Forum Polisi Israel adalah merupakan sebuah organisasi Yahudi Pro-Israel yang menyokong Perjanjian Oslo dan polisi pentadbiran Bill Clinton dalam process damai. Rosenberg menyatakan bahawa AIPAC adalah satu kumpulan yang menyokong kuat sokongan Amerika yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Sharon.

Walaupun AIPAC bukan merupakan satu organisasi berasaskan politik dan tidak meletak dan menyokong sebarang calon politik, namun kemampuannya untuk mempengaruhi individu dan organisasi pro-Israel yang lain untuk menyumbang wang kepada kempen politik telah memberinya satu suara yang terpenting di Washington, lapor Aljazeera.net yang membuat kesimpulan berdasarkan maklumat daripada mereka yang telah biasa dengan aktiviti organisasi ini.

Dalam pusingan pemilihan 2004, kumpulan-kumpulan dan individu pro-Israel ini telah menyumbang sebanyak US4.7 juta kepada pelbagai calon dan parti politik. Maklumat ini diperolehi daripada Pusat Tindakbalas Politik, satu kumpulan pemerhati di Washington yang menganalisa hal-hal berkaitan kewangan semasa kempen.

Lebih daripada US3 juta telah diberikan kepada Demokrat dan US1.7 juta lagi kepada Republikan. Secara perbandingan, sumbangan daripada organisasi Arab dan Muslim langsung ‘tidak kelihatan di skrin radar’.

Walaubagaimanapun, kewangan hanya merupakan salah satu aspek untuk merebut pengaruh di Washington.

Mengikut Rosenberg, satu undian yang menentang cadangan yang disokong oleh AIPAC akan dilihat oleh ramai tokoh politik sebagai potensi kepada masa depan politik yang gelap. Mereka tidak mahu berada dalam kalangan pihak yang tidak selari dengan kumpulan yang berpengaruh ini.

Resolusi kongres terhadap sokongan kepada Israel untuk proses damai selalunya akan mendapat sokongan yang amat kuat.

Seorang ahli tertinggi Parti Demokrat berkata, walaupun AIPAC adalah sangat berpengaruh, namun organisasi Arab dan Muslim telah mula untuk melangkah dan merapatkan jurang perbezaan ini. Mereka juga mempunyai jumlah pengaruh yang tertentu.