21 Ogos sebagai hari kempen Hentikan sekatan ke atas rakyat Palestin sedunia


oleh : Maszlee Malik

Sikap melampau AS berhubung isu penjajahan bumi Palestin bukanlah sesuatu yang baru. Lebih 90 veto telah dikeluarkan oleh AS di dalam mesyuarat-mesyuarat Majlis Keselamatan PBB berhubung tindakan ke atas kekejaman rejim Zionis Israel. AS sememangnya menjadi pelindung kepada negara haram Israel yang telah ditubuhkan demi menjayakan cita-cita golongan Zionis. Sebab utama perlindungan tersebut tidak lain dan tidak bukan adalah hasil lobi golongan Kristian Zionis yang begitu kuat pengaruhnya di kongres AS. Kumpulan yang dikenali sebagai Neo-Conservative itu telah bergabung dengan para Yahudi Zionis yang juga merupakan pemodal-pemodal antarabangsa telah berjaya mencaturkan segala polisi AS berkaitan dasar luar mereka. Fakta ini bukanlah lagi rahsia, penulis-penulis seperti Michael Prior, Ilan Pappe, Martin Buber, Collin Piper, Stephen Sizer dan lain-lain penulis lagi telah lama mendedahkan makar kumpulan tersebut.

Jika anda ingin menganalisis isu Palestin tanpa mengambil kira pengaruh Kristian Zionis di dalam polisi luar AS, maka analisis anda dijamin tidak tepat. Kejayaan kumpulan ini mengheret kaum Yahudi untuk dijadikan “pariah” dan samseng yang dibenci oleh masyarakat dunia adalah kejayaan terbesar mereka. Mereka memerlukan golongan Yahudi untuk mendiami Palestin, kemudiannya membina negara mereka dan berakhir dengan pembinaan kuil di tapak di mana terletaknya Masjid al-Aqsa. Mengapakah itu semua diperlukan oleh mereka?, semata-mata demi menjayakan impian mereka untuk menyambut kedatangan Jesus buat kali kedua dan membawa “the happy milleneum”. Para pendakwah kumpulan ini seperti Jerry Farewell, Billy Graham, Pat Paterson dan lain-lain orator Kristian Avangelist telah mencanangkan perkara ini di khalayak ramai semenjak tahun 60’an lagi. Bagi mereka, kewujudan negara Israel perlulah dikekalkan demi menyambut Jesus. Bagi mereka juga, sebarang ancaman terhadap kewujudan negara Israel adalah ancaman dan penghalang kepada kemunculan Jesus. Oleh yang demikian, kumpulan ini menggunakan segala prasaranan dan daya demi mempertahankan negara haram Israel yang mereka bina bersama golongan Yahudi Zionis.


Palestin kini menjadi tumpuan dunia tetapi adakah cukup dengan hanya melihat ?

Kemenangan HAMAS dan nuklear Iran


Dewasa ini dua isu utama di timur tengah telah berjaya menjadi tumpuan dunia. Kedua-dua isu tersebut berpaksikan kepada isu Palestin dan juga kewujudan negara haram Israel. Isu nuklear Iran dan juga kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya Majlis Legaslatif kerajaan tempatan Palestin (PA) yang sekaligus menjadikan mereka kerajaan yang memerintah rakyat Palestin. Projek nuklear Iran dilihat sebagai ancaman besar kepada kewujudan negara haram Israel. AS dan Israel tidak mahukan adanya kuasa pengimbang di rantau tersebut. Sebarang kuasa yang wujud d rantau tersebut merupakan ancaman kepada Israel. Maka, di atas dasar inilah rejim Zionis telah cuba memerangi Iran semenjak kejatuhan kerajaan Iraq pimpinan Saddam lewat Perang Teluk yang pertama. Melalui kempen global “Hasbara” yang mereka lakukan, rejim Zionis cuba untuk mengheret Iran untuk diadili oleh masyarakat antarabangsa. Kini, apa yang menimpa Iran adalah sebahagian daripada kejayaan kempen tersebut. Nasib Iran masih lagi belum ditentukan, namun rejim Zionis dan juga AS akan berusaha menghentikan projek Nuklear Iran serta berusaha untuk menghancurkan negara tersebut sepertimana yang telah mereka lakukan terhadap Iraq.

Projek nuklear Iran dilihat sebagai

ancaman besar kepada kewujudan negara haram Israel.

Kemenangan HAMAS pula merupakan ancaman terdekat kepada rejim Zionis. HAMAS yang telah dipilih oleh majoriti rakyat Palestin telah berjaya mengemukakan agenda yang diinginkan oleh mereka. Rakyat Palestin inginkan kemerdekaan dan mereka inginkan negara mereka kembali. HAMAS telah diberikan kepercyaan kerana pelbagai sebab dan yang paling utamanya ialah prinsip dan komitmen HAMAS untuk memperjuangkan kemerdekaan Palestin. PLO dan Fatah telah dilihat sebagai mengkhianati rakyat apabila mereka mula mengikut telunjuk rejim Zionis dan menerima penjajahan. HAMAS bagaikan sinar harapan baru bagi rakyat Palestin dan juga masyarakat dunia untuk memerdekakan Palestin. Hal ini telah dimaklumi oleh AS dan rejim Zionis. Sudah tentunya mereka tidak akan menyukainya. Melalui polisi “Israel Security System” yang menjadi tonggak dasar luar negara rejim Zionis tersebut, mereka telah melakukan 1001 usaha untuk menjatuhkan HAMAS. Di dalam hal ini, AS tidak ketinggalan menjadi aktor utama usaha menggulingkan kerajaan yang telah dipilih secara demokratik ini.

Sekatan Zalim


Sebelum pilihanraya berlangsung, pelbagai usaha yang telah dilakukan oleh AS untuk memastikan HAMAS tidak akan dapat membentuk kerajaan bersama dengan Fatah yang lebih mereka percayai. Ugutan untuk menghentikan bantuan kemanusiaan dan kewangan kepada rakyat Palestin. Usaha penangkapan calon-calon pilihanraya HAMAS. Usaha membekalkan calon-calon selain HAMAS dengan dana bernilai puluhan juta dollar demi membeli pengundi. Sayang sekali, kesemuanya telah menemui kegagalan. Rakyat tetap memilih HAMAS. Sejurus kemenangan HAMAS, rejim Zionis terus menutup pintu udara, darat dan laut kepada rakyat Palestin. Tiada urusniaga yang dibenarkan melalui sempadan-sempadan tersebut. Tiada urusan ekonomi dan diplomasi yang boleh dijalankan dengan penutupan sempadan tersebut. Cukai import yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Palestin sebanyak USD 55 juta sebulan juga telah dibekukan oleh rejim Zionis demi menjayakan agenda mereka.Hal ini telah mengakibatkan kelumpuhan pada ekonomi Gaza dan Tebing Barat. Kehidupan harian rakyat Palestin juga telah menjadi tidak berfungsi.


Kanak2 Palestin ini memikul bekalan air setelah bekalan asas seperti air dan

elektrik telah dimusnahkan rejim Zionis di Gaza

AS pula telah melakukan kempen antarabangsa untuk menghalang negara-negara dunia daripada melakukan sebarang hubungan diplomasi dengan kerajaan Palestin yang baru. Tiada negara yang berani untuk melakukan hubungan dagang, ekonomi, diplomatik dan juga hubungan-hubungan lain yang rasmi dengan kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Bank-bank juga telah dilarang daripada melakukan pemindahan wang ke dalam negara Palestin. Rakyat Palestin bagaikan dicekik. Kesannya, pengganguran meningkat, inflasi meningkat, ekonomi menjadi lumpuh, kehidupan rakyat tidak keruan. Hal ini telah cuba diatasi oleh kerajaan HAMAS dengan merayu kepada negara-negara Islam untuk membantu mereka. Kempen ini berjaya, terutamanya apabila para ulama sedunia yang bersidang di Qatar pada 10 Mei 2006 meluluskan fatwa yang mengatakan wajib menyokong dan membantu rakyat Palestin yang tertindas sekarang ini, walaupun dengan USD 1 sahaja. Usaha ini sedikit sebanyak telah dapat meringankan beban rakyat Palestin. Negara-negara EU juga telah sudi untuk menghantarkan bekalan ubat-ubatan dan makanan, namun tidak melalui kerajaan PA pimpinan HAMAS.

Walaupun yang demikian, usaha-usaha ini hanya sekadar menjadi penyelesaian jangka pendek sahaja. Rakyat ingin terus hidup. Selagi sekatan ekonomi dan juga penutupan sempadan berlaku, selagi itulah rakyat Palestin bagaikan dicekik dan hanya menantikan hari kematian sahaja. Rakyat Palestin boleh hidup tanpa bantuan AS mahupun EU, asalkan sahaja pintu sempadan mereka dibuka dan mereka dibenarka berhubung dengan masyarakat dunia. Tanpa perkara-perkara tersebut, amat sukar untuk rakyat Palestin terus hidup. Kini keadaan menjadi semakin parah. Selepas serangan “al-Wahm al-Mubaddad” yang diusahakan oleh gabungan tiga fraksi utama perjuangan Palestin telah mengubah segala-galanya. Serangan yang telah memusnahkan kereta kebal Merkava milik tentera Zionis dan juga mengorbankan sebilangan besar tentera Zionis di selaan Gaza itu telah memalukan pihak Zionis. Seorang daripada tentera Zionis pula telah ditawan oleh para pejuang demi menukarkannya dengan 9,800 tahanan Palestin di penjara Zionis, di mana hampir 300 daripada mereka adalah wanita dan hampir 200 pula adalah kanak-kanak di bawah usia 18 tahun. Serangan itu juga amat memalukan rejim Zionis kerana ianya berlaku di pengkalan tentera Zionis. Kumpulan pejuang-pejuanag tersebut mengatakan serangan tersebut bertujuan untuk membalas serangan-serangan gila rejim Zionis ke atas orang awam dan yang palin sadis sekali adalah serangan mereka ke atas rakyat Palestin yang sedang berkelah di pantai Gaza.

Inisiatif Al-Quds Institute


Sekatan yang dikenakan oleh AS dan rejim Zionis itu benar-benar tidak berperikemanusiaan, malangnya masyarakat dunia diam membisu. PBB tidak memainkan peranannya. OIC juga bagaikan redha melihat saudara mereka di Palestin diperlakuakn sedemikian rupa. Serangan-serangan kejam tentera Zionis ke atas kepentingan milik rakyat Palestin yang telah mengirbankan puluhan warga awam Palestin juga tiada pembelaan. Apa yang pasti, neara-negara umat Islam juga turut membisu. Apakah sebenarnya yang berlaku?

Di atas kesedaran inilah, al-Quds Institute (QI) yang berpusat di Lubnan telah mengadakan inisiatif yang bersikap pro-aktif. Institut yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf al-Qaradawi ini, di dalam perhimpunan tergempar mereka pada 1 dan 2 Julai telah melancarkan “Kempen Menghentikan Sekatan ke atas rakyat Palestin” sedunia. Dengan kehadiran oleh lebih 60 NGO-NGO Islam dan Kristian dari seluruh dunia, QI telah memilih 21 Ogos tahun 2006 ini sebagai tarikh permulaan kempen global tersebut. QI mengharapkan masyarakat madani di seluruh dunia untuk bangkit dan menggesa kerajaan AS dan Israel untuk menghentikan sekatan yang zalim ke atas rakyat Palestin. Tarikh tersebut dipilih memandangkan ianya juga merupakan hari mengingati al-Aqsa sedunia yang disambut setiap tahun demi mengenangkan kejadian pembakaran Masjid al-Aqsa pada 21 Ogos 1969.

Al-Quds Institute yang dipengerusikan oleh Dr Yusuf Qaradawi mengambil langkah pro aktif dan praktikal. Persoalannya, di mana langkah OIC selain membuat bergulung2 resolusi ?


Di Malaysia, sewajarnya masyarakat Islam dan juga bukan Islam yang prihatin terhadap isu Palestin untuk turut menjayakan kempen “Hentikan Sekatan” sedunia ini. Pelbagai usaha boleh dilakukan di seluruh Malaysia untuk menjayakannya bersama-sama dengan masyarakat dunia yang lain. Dijangkakan jalanraya-jalanraya ibu kota-ibu kota utama dunia di AS, Eropah dan juga negara-negara Arab akan dibanjiri manusia untuk menyertai demonstrasi kempen “Hentikan Sekatan” sedunia ini. Kempen tersebut juga akan dijadikan sebagai usaha meletakkan kembali Masjid al-Aqsa did alam jiwa umat Islam di seluruh dunia. Ianya juga bertujuan untuk mengajak masyarakat bukan Islam agar bersama-sama menegakkan keadilan dan menentang kezaliman AS dan Zionis yang amat melampau ini. Di Malaysia juga setiap badan-badan dan organisasi-organisasi Islam bertanggungjawab untuk menjayakan kempen ini. Ceramah-ceramah perdana, forum, pameran, demonstrasi, pertunjukan nasyid, karnival, edaran liflet, khutbah-khutbah, tayangan-tayangan video, edaran sms-sms, email-email, poster-poster, kad-kad dan 1001 acara boleh dijalankan demi menyemarakkan kempen “Hentikan Sekatan” sedunia ini.

Persoalan yang timbul, apakah rakyat malaysia akan prihatin terhadap isu Palestin ini. Atau mungkin AF, Mentor dan juga lain-lain rancangan realiti TV lebih utama daripada mereka memberikan sedikit tenaga untuk menyelamatkan Masjid al-Aqsa dan menyelamatkan nyawa rakyat Palestin? Jangan tanyakan orang lain, jangan lihat ke kiri dan ke kanan, tanyakan dahulu diri kita…Apakah yang aku akan buat?

Selamat berkempen, dan selamat menyumbang!!!

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.