Politik Luar Arab Tidak Bertaji

Isnin, 24/07/2006 –
Para Menteri Luar Arab yang terhormat muncul di hadapan umum setelah tersedar dari kealpaannya
dan tidurnya yang panjang untuk mengumumkan kegagalan proses perdamaian secara menyeluruh. Dalam pertemuannya setelah mengaku kalah, mereka mencadangkan untuk merujuk kepada Dewan Keselamatan PBB untuk membahaskan krisis Timur Tengah.

Keputusan lemah tidak bertaji – yang sama sekali tidak menggambarkan kehendak dan aspirasi warga
Arab yang terus digempur pesawat-pesawat Israel di Gaza dan Beirut saban hari – keadaan ini
mewujudkan suasana kebingungan di kalangan diplomat Arab berhadapan keangkuhan Israel yang melakukan serangan setiap hari. Sekiranya mereka merujuk kepada Dewan Keselamatan PBB pun hampir pasti gagal apabila berhadapan dengan kuasa Veto Amerika.

Keadaan sekarang jelas menunjukkan kita hidup dalam situasi kekalahan, diam membisu dan tidak
berdaya untuk membantu saudara-saudara kita di Palestin, Beirut dan Iraq. Ketika para Menteri Luar
Negeri Arab mengadakan pertemuan tergempar, para menteri-menteri Israel mengeluarkan arahan untuk
menyerang Beirut tidak terkecuali orang awam dan kanak-kanak. Dua pertemuan yang sangat berbeza.
Pertemuan Menteri Luar Arab hanya mencerminkan kelemahan dan kehinaan. Bahkan dalam sidang akhbar mereka kita tidak mendengar sokongan dan pendirian teguh mendokong kumpulan pejuang Lebanon dan Palestin. Seharusnya sudah menjadi kewajipan menteri-menteri kita dari Arab ini menyampaikan amanat menyokong terus perjuangan anak-anak Gaza dan Beirut dan menyampaikan ucapan terima kasih kepada kelompok pejuang Lebanon yang mampu menyerang bandar-bandar Israel termasuk bandar Haifa yang
menyebabkan sembilan orang Israel terbunuh dan mencederakan beberapa yang lain serta mampu
menenggelamkan kapal laut Israel.

Di hadapan kita para Menteri Luar Arab yang terhormat ini menyatakan kembali sikap diam membisu kerajaan mereka atas kezaliman yang dilakukan terhadap hak-hak sivil di Gaza dan Beirut.

Sudah banyak inisiatif Arab yang gagal dalam menawarkan penyelesaian konflik. Sampai bilakah
situasi ketidakmampuan Arab ini? Sampai bila mereka terus selesa dalam kehinaan? Bukankah ini masanya untuk bangkit daripada tidur yang panjang dan hidup dalam realiti dan masa hadapan?

Penulis tidak mengetahui mengapa Menteri-menteri Arab itu menunjukkan keadaan warga Arab yang hina
dan lemah pengurusannya. Apakah mereka tidak menyaksikan apa yang terjadi di Gaza, melihat contoh keteguhan dan tentangan terhadap keangkuhan Israel. Apakah mereka tidak mengambil pelajaran dari operasi serangan pejuang Palestin melalui penggalian terowong di Gaza dan disebalik tembok pekauman Israel yang akhirnya berjaya membunuh dan menawan tentera Israel. Operasi ini sebenarnya ingin menyedarkan Arab dari kelemahannya di hadapan penjajah Israel.

Seharusnya dalam pertemuan tergempar itu, menteri-menteri terhormat itu mengeluarkan keputusan tegas untuk menyokong pejuang Lebanon dan Palestin dan mendokong keteguhan bangsa Arab menghadapi penjajah Israel. Pendekatan yang paling minimumpun menggunakan senjata minyak bagi menghadapi Israel dan Amerika. Mereka seharusnya berusaha menyumbang dana kepada perjuangan Lebanon dan Palestin agar mereka mampu meneruskan perjuangan menentang Israel.

Namun pertemuan tergempar menteri-menteri Arab tersebut telah menguburkan harapan umat.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.