Laporan Kekejaman Israel di Nabatiyyeh, Israel Menceroboh Bint Jubail

Rabu ,26/07/2006 –
Sumber tentera Lubnan melaporkan bahawa pesawat perang Israel melancarkan serangan peluru berpandu ke atas dua kediaman menyebabkan sembilan orang dari dua keluarga terkorban.

Datuk bandar Nabatiyyeh, Assad Ghandour melaporkan dalam satu temubual dengan pihak Televisyen Al-Jazeera bahawa serangan udara Israel mensasarkan dua buah kediaman yang terletak berhampiran antara satu sama lain. Serangan menyebabkan sepasang suami isteri terkorban manakala anak mereka cedera di salah sebuah kediaman yang disasarkan. Di kediaman kedua pula, seorang lelaki, Mohammed Ghandour, isteri serta lima anaknya terkorban.

Dalam perkembangan berkaitan, pertempuran antara pejuang Hizbullah dengan tentera Zionis masih lagi berterusan di sekitar Marun ar-Ra’s dan Bint Jubail. Tentera Israel, sejak dua hari lepas cuba menguasai kawasan tersebut. Sumber tentera Israel melaporkan bahawa mereka berjaya menguasai Bint Jubail yang dilabel oleh pihak Tel Aviv sebagai “ibukota Hizbullah.”

Sumber wartawan Al-Jazeera pula melaporkan bahawa bandar tersebut telah jatuh ke tangan tentera Israel secara teknikal selepas mereka menguasai kawasan tanah tinggi Massoud, salah satu dari tiga kawasan tanah tinggi di sekeliling Bint Jubail. Namun tentera Zionis masih lagi belum memasuki bandar tersebut.

Israel mengakui bahawa seorang pegawai kanan dan seorang pegawai rendah tentera mereka terbunuh dalam pertempuran di Bint Jubail selain kematian dua yang lain dalam kejadian helikopter terhempas. Hizbullah pula mendakwa berjaya memusnahkan lima buah kereta kebal Israel.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.