Amaran Nasrullah: Perang Akan Meluas!

Khamis ,27/07/2006 –
Pemimpin utama Hizbullah, Syeikh Hassan Nasrullah, kembali mengeluarkan amaran kepada Zionis
Israel dan mengatakan bahawa perjuangan akan diperluaskan, “Ia boleh jadi akan melebar hingga Haifa dan seterusnya. Serangan kami tidak terhenti oleh batasan wilayah,” jelas beliau tegas di TV Almanar
yang disiarkan oleh televisyen Aljazeera hari ini, Rabu (26/7). Kata-kata Nasrullah adalah
isyarat bahawa bandar-bandar lain ‘Israel’ perlu bersedia merasakan dahsyatnya roket-roket Hizbullah.

Bercakap berkenaan kekuatan senjata Hizbullah, Nasrullah mengatakan;”Kami telah mulakan fasa baru
persenjataan” Bahkan menurut Zionis Israel, Hizbullah memiliki roket-roket yang boleh menjangkau
ke Tel Aviv hingga ke Beir Saba, selatan Israel
(Palestin ’48).

Dalam wawancara itu, Nasrullah kembali menegaskan bahawa pasukannya telah bersiap siaga untuk
menghadapi serangan darat pihak Zionis Israel. “Kayu ukurnya adalah kerugian yang dialami oleh pihak
musuh dan bukan pada tanah wilayah yang mereka duduki,” jelasnya sambil mengisyaratkan bahawa
perang yang berlaku sekarang ini dilakukan melalui sistem gerila.

Dalam pada itu, pemimpin Hizbullah ini menafikan berita yang mengatakan bahawa bandar Bint Jabil
telah jatuh ke tangan pasukan Zionis Israel. Beliau mengatakan bahawa apa yang diumumkan oleh pihak
Zionis ini hanyalah taktik perang psikologi. “Tel Aviv akan meneruskan cara-cara ini untuk
mempengaruhi psikologi para pejuang Hizbullah,” tegasnya, dan beliau berjanji akan mengembalikan semua
tanah yang pernah dijajah oleh Zionis Israel.

Nasrullah juga menjangkakan bahawa perang darat memberikan peluang kepada para pejuang Hizbullah
untuk terus menewaskan tentera Zionis dengan mengatakan:”Hasrat Israel untuk menghentikan serangan
roket tidak pernah berhasil”

Perundingan Damai


Selain itu, Nasrullah juga mengkritik usaha-usaha politik yang dilakukan oleh Amerika dengan
mengatakan:”Sesiapa yang datang ke Lebanon selalu membawa keburukan-keburukan dari Amerika” Bahkan
beliau melihat kunjungan Setiausaha Negara AS Condoleezza Rice ke Beirut dan Tel Aviv akan memberikan
kesempatan kepada ‘Israel’ untuk meluaskan serangannya.

Nasrullah juga menyatakan bahawa setiap usaha yang dilakukan sekarang tertumpu pada tekanan yang
semakin kuat kepada Syria, Lebanon dan Palestin. “Bukan Syria dan bukan Iran yang bersedia untuk
melakukan perundingan damai dalam soal pertempuran di Palestin dan Lebanon,” tegasnya.

Mengenai syarat perundingan damai, Nasrullah menegaskan bahawa perjuangan mereka tidak akan
menerima ‘syarat kerdil’ dan beliau mengatakan bahawa di sana ada garis yang tidak boleh dilewati,
iaitu kepentingan dan kedaulatan Lebanon. “Kami tidak mungkin menerima syarat apapun yang boleh
merosakkan tanahair, bangsa dan perjuangan kami,” tambahnya sambil menekankan bahawa kumpulannya sangat
terbuka pada setiap dialog politik.

Penangkapan 2 tentera ‘Israel’


Pemimpin Hizbullah itu juga mempertahankan tindakan penangkapan dua tentera Zionis Israel dan
menolak tafsiran ramai yang mengatakan bahawa penangkapan itu sebagai pendorong pihak Tel Aviv untuk
terus menggempur Lebanon.

Berkenaan hal tersebut Nasrullah menekankan bahawa “Permusuhan Zionis Israel kepada Lebanon telah
dirancang sebelumnya lagi walaupun tidak berlaku penangkapan dua tenteranya.”

Mengenai idea Timur Tengah Baru yang dijaja oleh Israel dan AS, Nasrullah melihat bahawa
rancangan itu sudah lama direncanakan. “Amerika melihat Syria, Iran, Hizbullah dan pejuang Palestin
sebagai batu hambatan,oleh itu ianya harus dihapuskan,” katanya jelas.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.