Barhoum: Keputusan ICC Merupakan Lesen Baru Untuk Membunuh Lebih Ramai Rakyat Palestin

Selasa , 10-04-2012 – Penolakan Mahkamah Hague untuk memutuskan bahawa pendudukan Zionis di Gaza ialah satu jenayah dan menidakkan Palestin sebagai sebuah negara akan membuka jalan yang lebih luas pada rejim Israel untuk membuat lebih banyak jenayah dan membunuh lebih ramai warga Palestin, demikian menurut Fawzi Barhoum, jurucakap Hamas.

Semua laporan PBB dan antarabangsa mengesahkan bahawa pencerobohan oleh Zionis di Gaza ialah jenayah perang menerusi pembunuhan beramai-ramai, membunuh kanak-kanak, mengebom masjid-masjid dan kediaman-kediaman, mengakibatkan kecacatan terhadap para lelaki, wanita dan kanak-kanak, Barhoum berkata demikian dalam satu kenyataan pada Rabu di laman Facebooknya.

Beliau menyifatkan dakwaan mahkamah itu tentang Palestin bukan sebuah negara dalam PBB sebagai tidak dapat diterima kerana UNESCO, organisasi PBB menerima Palestin sebagai sebuah negara pada Oktober 2011. Oleh itu, menurut undang-undang dan amalan PBB, Palestin mesti diterima sebagai sebuah negara termasuklah di Mahkamah Jenayah Antarabangsa.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/
penterjemah : idawati