Suasana Umum Tebing Barat Tidak Mendokong Perpaduan dan Pilihanraya

Selasa , 31-07-2012 – Anggota Dewan Legislatif Palestin, Maryam Shaleh mengatakan bahawa suasana di Tebing Barat tidak mendokong perpaduan Palestin. Penangkapan politik, pemanggilan yang berterusan terhadap penduduk yang mempunyai hubungan dengan gerakan Hamas dan penutupan organisasi-organisasi dan pertubuhan menunjukkan bahawa di sana ada pihak yang tidak menginginkan perpaduan. Ini ertinya mereka tidak menginginkan pilihanraya secara bebas ketika berterusannya penangkapan, pemanggilan dan pelanggaran-pelanggaran hak.

Mengenai pelaksanaan pilihanraya di Tebing Barat, Maryam Shaleh mengatakan, “Tidak ada jaminan dari Israel dan mereka tidak memberi sebarang komitmen. Walaupun mereka menangkap para anggota dewan dari fraksi perubahan dan reformasi namun ia tidak menggetarkan kami. Apa yang menyakitkan kami adalah tidak adanya jaminan untuk menghentikan penangkapan politik. Dengan demikian kegagalan pelaksanaan pilihanraya disebabkan oleh tidak adanya suasana yang kondusif dan kebebasan untuk pelaksanaannya.”

Beliau mengingatkan bahawa para bekas tawanan yang bebas dari penjara Israel setelah menghuni selama bertahun-tahun bahkan ada yang lebih sepuluh tahun , dipanggil dan ditahan oleh pihak keselamatan otoriti Palestin tanpa alasan yang benar, hanya beberapa hari setelah mereka dibebaskan. Beliau mengatakan, “Apakah tindakan-tindakan demikian boleh mendokong kesepakatan dan perpaduan?”

sumber : COMES
penterjemah : Osman