Na’im: “Sektor kesihatan di Gaza di ambang kejatuhan”


Rabu , 01/11/06 –Menteri Kesihatan Palestin, Dr. Bassim Na’im memberi amaran Isnin lalu bahawa sektor kesihatan di Gaza kini berada di ambang kejatuhan akibat daripada sekatan yang dikenakan oleh Israel dan pihak antarabangsa ke atas penduduk Palestin sejak pemilihan Hamas di dalam pilihan raya awal ahun ini.

Kenyataan oleh Dr. Na’im itu dikeluarkan semasa satu perjumpaan dengan ahli-ahli parlimen dari Kesatuan Eropah (EU) di Hospital Al Shifa di bandar Gaza. “Keadaan sekarang dan sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas para penduduk dan sektor kesihatan telah menambahkan penderitaan orang-orang Palestin,” jelas Dr. Na’im, “ Sektor kesihatan di sini tidak mempunyai kelengkapan dan peralatan asas yang mencukupi, dan sekatan ini secara langsung telah menyebabkan rakyat menderita.”

Dr. Na’im turut menambah bahawa kerajaan Israel sekarang menghalang para pesakit daripada ke luar negara atau pun masuk ke Israel untuk mendapatkan rawatan perubatan, menyebabkan keadaan kesihatan mereka bertambah teruk. Beliau menambah lagi bahawa sejak serangan Israel ke atas satu-satunya pusat janakuasa tenaga di Gaza pada 25 Jun lepas, ketiadaan sumber tenaga elektrik telah menyebabkan wujudnya krisis yang dahsyat di Semenanjung Gaza.

Kebanyakan kemudahan awam, terutama hospital-hospital, beroperasi menggunakan penjanakuasa, tetapi bekalan minyak yang semakin berkurangan (kebanyakannya adalah disebabkan oleh penutupan sempadan Israel) dan ketidakupayaan untuk memasang penjanakuasa setiap masa telah mengakibatkan krisis yang lebih meruncing.

Dr. Na’im turut berkata bahawa walaupun mendapat sokongan pihak EU dalam sektor kesihatan ini, krisis ini tetap akan kekal, kerana para pekerja tidak dibayar gaji selama beberapa bulan. “Para pekerja dalam sektor ini, tidak seperti pekerja dalam sektor lain, tidak boleh mengadakan tunjuk perasaan; mereka perlu bekerja setiap hari,” Dr. Na’im menjelaskan, “Tepapi, mereka masih tidak dibayar gaji. Ini telah menyebabkan penderitaan mereka semakin bertambah dan menjejaskan kerja mereka.”

Beliau juga berkata bahawa walaupun berlaku perbezaan pendapat di dalam kerajaan yang ada sekarang, Kementerian Kesihatan tidak sepatutnya menjadi mangsa, dan seharusnya dikecualikan daripada sekatan antarabangsa ini.