Boikot barangan Israel: Bantahan NAM terhadap sikap melampau Yahudi


SEPANG: Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) bersetuju mengenakan sekatan ke atas produk Israel, termasuk yang dihasilkan di wilayah yang ditakluki, sebagai tanda protes terhadap keengganan regim Yahudi itu menghormati undang-undang antarabangsa.


Persetujuan itu terkandung dalam Kenyataan Mengenai Palestin yang dicapai pada Mesyuarat Peringkat Menteri NAM di Durban, Afrika Selatan yang berakhir kelmarin.

Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar (gambar), berkata sekatan itu meliputi produk yang dihasilkan di wilayah yang ditakluki kerana mengikut undang-undang antarabangsa kawasan terbabit tidak diiktiraf sebagai wilayah Israel.

?Keputusan dibuat kerana kita mahu memastikan pencerobohan haram tidak terus digalakkan atau tidak disekat,? katanya pada sidang akhbar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini sekembalinya dari menghadiri mesyuarat itu, semalam.

Selain menghadiri Mesyuarat Peringkat Menteri NAM di Durban, Selasa lalu, Syed Hamid juga menyertai Persidangan Antara Wilayah Afro-Asia yang diadakan di tempat sama selepas itu.

Syed Hamid berkata, NAM juga mahu dunia mengenakan tindakan sama kerana pendekatan sebelah pihak tidak akan membantu menyelesaikan konflik itu.

?Kita menyedari sebahagian daripada keputusan boleh dilaksanakan… sebahagian lagi mungkin menimbulkan masalah bagi negara tertentu melakukannya.

?Soal sama ada keputusan dibuat adalah praktikal atau sebaliknya, keputusan sudah pun dibuat,? katanya.

Bagi Malaysia, katanya, beliau menyatakan pada mesyuarat itu bahawa negara ini tidak pernah mempunyai hubungan dagangan dengan Israel, malah sentiasa mahu melihat lahirnya negara Palestin yang bebas dan berdaulat.

Syed Hamid berkata, NAM juga tidak berpuas hati selagi Amerika Syarikat (AS) tidak mengambil inisiatif mempengaruhi Israel supaya akur dengan ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta penghakiman Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Hague berhubung isu Palestin.

Sehubungan itu, katanya, NAM mahu masyarakat antarabangsa bertindak menentukan pendapat atau penghakiman ICJ dipatuhi dalam menangani krisis Palestin.

?Sebagai ahli PBB, semua negara ahli seharusnya tertakluk kepada piagam PBB untuk menghormati undang-undang antarabangsa, termasuk ketetapan berhubung mengawal kepentingan wilayah yang ditakluk,? katanya.

Syed Hamid berkata, Deklarasi Durban juga memperkukuhkan pendirian NAM berhubung isu utama dalam hubungan antarabangsa dan sistem hubungan pelbagai hala.

?Kita mahu melihat pemusatan PBB sebagai agensi utama dalam menyelesaikan konflik antarabangsa serta menentang pendekatan berat sebelah yang membawa dunia kepada suasana tidak menentu, tidak selamat dan tidak stabil,? katanya.

Syed Hamid berkata, anggota NAM juga berpuas hati dengan fungsi Malaysia sebagai pengerusi pergerakan itu dengan pelbagai kegiatan dan usaha dilakukan, termasuk menghidupkan semula kegiatan NAM di New York, Geneva dan Vienna.

Mengenai Persidangan Antara Wilayah Afro-Asia, beliau berkata, Malaysia menawarkan kepakaran dalam bidang perkongsian strategik seperti yang terhasil melalui Dialog Antarabangsa Langkawi (LID).

Mesyuarat menetapkan supaya mekanisme Afro-Asia meningkatkan perdagangan antara benua Asia dan Afrika yang selama ini berada pada tahap agak rendah.

?Diharap hubungan itu akan merapatkan lagi jalinan rangkaian kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan antara dua benua,? katanya sambil menambah mesyuarat itu juga bertujuan membincangkan persiapan menganjurkan Sidang Kemuncak Afro-Asia di Jakarta pada April tahun depan.

Beliau berkata, ulang tahun Afro-Asia akan diraikan di Bandung sebagai tanda simbolik terhadap Deklarasi Bandung yang dicapai pada 1961.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.