Paksi-paksi Palestin di Damascus bantah pilihanraya awal


Isnin, 18/12/06 –
Paksi-paksi Palestin yang berpusat di Damascus Rabu lalu membantah cadangan pegawai-pegawai PLO kepada presiden Mahmoud Abbas yang menyeru agar pilihanraya presiden dan parlimen diadakan lebih awal sambil menjelaskan bahawa ia adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Palestin.

Enam buah paksi yang mengadakan sidang akhbar di pusat bandar Syria secara jelas mengkritik presiden yang disifatkan telah menyekat pembentukan kerajaan campuran. Mereka mengecam Abbas kerana tunduk kepada tekanan luar serta memberi amaran mengenai pertikaian dalaman Palestin.
Timbalan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr.Mousa Abu Marzouk berkata bahawa Abbas sentiasa merujuk kepada parti luar dalam setiap tindakan yang mahu diambil. “Kami mahukan satu proses yang bebas dalam membuat keputusan yang melibat Palestin.,” jelas beliau yang merujuk kepada pengumuman Abbas mengenai kegagalan dialog pembentukan kerajaan campuran ketika sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice.

Dalam pada itu, ahli Biro Politik PFLP, Talal Naji, mendedahkan bahawa ketua jabatan politik PLO, Farouk Kaddoumi telah menghantar mesej kepada Salim Al-Zanon iaitu Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin bahawa ahli jawatan kuasa eksekutif PLO adalah tidak sah berikutan ketidakhadiran satu pertiga daripada ahlinya.

Kesemua paksi itu bersetuju bahawa cadangan ahli jawatankuasa PLO telah memberi ruang kepada lebih tekanan dan perpecahan di dalam arena Palestin. Mereka berkata bahawa pembentukan kerajaan campuran adalah untuk kepentingan rakyat untuk menghadapi cabaran sambil menambah bahawa dokumen perpaduan kebangsaan adalah asas kepada pembentukan kerajaan baru itu nanti. Mereka turut memberi amaran sekiranya pembentukan kerajaan itu dirujuk kepada persetujuan Washington mahupun Quartet.