Haniyyah Minta Semua Pihak Utamakan Kepentingan Nasional


Khamis, 21/12/06 –Perdana menteri Palestin Ismail Haniyyah mengajak para menterinya untuk
mengutamakan kepentingan nasional dalam menjaga ketenteraman awam. Biarlah Mahmud
Abbas bertanggungjawab terhadap semua tindakannya yang menyebabkan rakyat
terkorban.


Pernyataan Haniyyah ini disampaikan Selasa (19/12) di hadapan rakyat Palestin.
Beliau mengatakan apa yang berlaku sekarang adalah kenyataan pahit akibat daripada
tindakan tanpa koordinasi dan kesepakatan untuk memaksa rakyat Palestin. Beliau
merujuk kepada keputusan sepihak Abbas yang menyeru diadakan pilihanraya Parlimen
dan presiden secepat mungkin.

Haniyyah menegaskan, pihaknya tetap menolak seruan Abbas untuk mengadakan
pilihanraya segera. Beliau meminta Abbas agar menghormati keputusan pilihanraya
parlimen Palestin lepas yang telah memberikan nafas baru kepada rakyat Palestin dan
merupakan sandaran yang kukuh serta berasaskan piagam persetujuan nasional.

Seruan Abbas merupakan langkah yang tidak sah tanpa dasar undang-undang yang
tentunya ditolak oleh rakyat Palestin. Apatah lagi rakyat baru sahaja melakukan
pemilihan bahkan belum sampai setahun lagi. Mengapa kita harus terburu-buru?,
menurut Haniyyah.

Haniyyah mengingatkan bahawa jika seruan tersebut dilaksanakan keadaan menjadi 10
tahun ke belakang. Oleh itu beliau dengan penuh yakin menolak seruan tersebut dan
meminta semua pihak menghormati pilihan rakyat.