Abbas Tolak Pemecatan Dahlan Dari Fatah


Khamis, 04/01/07 –
Presiden Palestin, Mahmud Abbas menolak tuntutan sebahagian anggota Jawatankuasa Pusat gerakan Fatah, agar Muhammad Dahlan dipecat keanggotaanya kerana
tindakannya yang membuat onar kepada bangsa Palestin, terutama rancangan pembunuhan perdana menteri Palestin, Ismail Haniyyah.


Sumber Fatah menyebutkan, Jawatankuasa Pusat Fatah telah mengadakan pertemuan pada
minggu lepas di Ramallah membincangkan pelbagai isu Palestin terkini. Pertemuan itu dihadiri presiden Palestin Mahmud Abbas dan juga Muhammad Dahlan dari Gaza melalui sidang video.

Menurut salah seorang peserta, pertemuan itu diwarnai dengan pelbagai cercaan dan tuduhan, bahkan hinaan. Terutama antara mantan menteri Nasher Yusuf, anggota Jawatankuasa Pusat Fatah dengan Muhammad Dahlan.

Sumber tersebut menyatakan dalam ucapan-ucapannya, Dahlan seolah-olah merasa menang perang melawan Hamas, namun beliau tidak yakin dapat menjatuhkan Hamas. Pernyataan
ini dibantah oleh Nasher Yusuf dengan menuduh Dahlan telah berdusta, maka terjadilah perang mulut antara kedua-duanya yang penuh dengan cercaan dan tuduhan.

Menurut sumber tersebut lagi, kejadian bertikam lidah sering terjadi tetapi cercaan dan penghinaan melampau sebegitu adalah pertama kali berlaku. Akhirnya sebahagian besar peserta meminta diadakan undian untuk menentukan apakah Muhammad Dahlan patut dipecat atau tidak. Namun Mahmud Abbas masuk campur dan menolak diadakan undian. Akhirnya pertemuan itu berakhir tanpa sebarang hasil yang memuaskan.

Perlu disebutkan di sini, Muhammad Dahlan adalah bekas ketua keselamatan di Semenanjung Gaza. Beliau dituduh mendalangi pelbagai peristiwa kekacauan di Palestin, seperti kes pembunuhan terhadap beberapa aktivis pejuang Hamas dan
kakitangan awam daripada kumpulan Hamas dan terbarucubaan bunuh terhadap perdana menteri Palestin, Ismail Haniyyah.

Beberapa tokoh penting Gerakan Fatah, seperti Faruq Qadumi, ketua Biro Politik PLO menuduh Dahlan sebagai dalang yang menyebabkan keadaan kucar-kacir dan rusuhan yang berlaku di Palestin.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.