HAMAS vs Fatah: Apakah yang sebenarnya berlaku di Palestin? (Part 2)

Ikuti sambungan bahagian kedua artikel Maszlee Malik ini.

Faktor Muhammad Dahlan

Dahlan telah memeranjatkan ramai pihak apabila beliau diwawancara oleh Televisyen Palestin pada 15 Disember 2006 (laporan: Markaz al-I’laam al-Filistini, 16/12/2006) berkaitan percubaan membunuh konvoi Perdana Mentari Palestin, Ismail Haneyya. Beliau yang telah dituduh oleh banyak pihak sebagai dalang serangan tersebut telah mengatakan “Itu merupakan kerja yang mulia yang saya tidak melakukannya”. Kelancangan beliau menyifatkan percubaan membunuh tersebut sebagai “kerja yang mulia” telah menimbulkan kemarahan ramai pihak.

Kelancangan Dahlan bukanlah baru. Di kalangan pemimpin Fatah yang lebih moderat, ramai yang tidak menyukai beliau. Tindakan beliau menyuruh mantan Presiden Palestin, Yasser Arafat untuk meletakkan jawatan sewaktu hayat Arafat telah menimbulkan kemarahan ramai pemimpin Fatah. Bagaikan kacang melupakan kulit, beliau yang telah diambil oleh Arafat untuk menjadi menteri keselamatan dalam negeri sewaktu berusai 33 tahun dahulu telah menunjukkan sikap biadap terhadap Arafat.


Bagi pengamat isu Palestin juga, Dahlan terkenal sebagai seorang “rakan karib” rejim Zionis.


Bagi pengamat isu Palestin juga, Dahlan terkenal sebagai seorang “rakan karib” rejim Zionis. Beliau juga terkenal dengan maki hamun, fitnah dan cercaan yang sering dikeluarkan terhadap HAMAS dan fraksi-fraksi perjuangan Palestin yang lain. Kini, kelemahan Abbas telah memberikan beliau peluang untuk membuktikan kesetiaan beliau kepada rejim Zionis.

Kini, beliau menjadi semakin berani apabila melihat segala usaha untuk menumbangkan HAMAS melalui usaha tekanan luar gagal. Usaha penangkapan para menteri HAMAS oleh pihak rejim juga tidak menemukan kejayaan. Beliau kini sedang berusaha keras untuk mewujudkan kekecohan dan keadaan tidak stabil di dalam wilayah Gaza terutamanya. Harapan beliau dan mereka yang berkongsi harapan dengannya, hal yang sedemikian akan memberikan alasan yang munasabah kepada Abbas untuk mengadakan pilihanraya yang baru. Natijah kekecohan yang ditimbulkan oleh Dahlan ini amat memberangsangkan. Abbas akhirnya muncul dengan ide untuk mengadakan pilihanraya awal. Harapan beliau, rakyat akan memilih Fatah kembali selepas mereka hilang kepercayaan terhadap HAMAS.

Bantahan dari fraksi-fraksi perjuangan Palestin

Fraksi-fraksi Palestin yang berpusat di Damsyik pada 13 Disember yang lalu telah membantah cadangan pegawai-pegawai PLO kepada presiden Mahmoud Abbas yang menyeru agar pilihanraya presiden dan parlimen diadakan lebih awal. Mereka mendakwa bahawa ia adalah bertentangan dengan prinsip demokrasi Palestin.

Enam buah fraksi yang mengadakan sidang akhbar di pusat bandar Syria secara jelas mengkritik presiden yang disifatkan telah menyekat pembentukan kerajaan campuran. Mereka mengecam Abbas kerana tunduk kepada tekanan luar serta memberi amaran mengenai pertikaian dalaman Palestin. Timbalan Pengerusi Biro Politik Hamas, Dr.Mousa Abu Marzouk berkata bahawa Abbas sentiasa merujuk kepada pihak luar dalam setiap tindakan yang mahu diambil. “Kami mahukan satu proses yang bebas dalam membuat keputusan yang melibatkan kepentingan rakyat Palestin.,”tegas beliau yang merujuk kepada pengumuman Abbas mengenai kegagalan dialog pembentukan kerajaan campuran. Abbas telah membuat kenyataan tersebut ketika sidang media bersama Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Condoleezza Rice. Amat mengejutkan kerana sehari sebelum perjumpaan tersebut, beliau mengatakan proses tersebut berada di tahap yang terakhir.


Abbas sentiasa merujuk kepada pihak luar dalam setiap tindakan yang mahu diambil.

Dalam pada itu, ahli Biro Politik PFLP, Talal Naji, mendedahkan bahawa ketua jabatan politik PLO, Farouk Kaddoumi telah menghantar mesej kepada Salim Al-Zanon iaitu Pengerusi Majlis Kebangsaan Palestin bahawa ahli jawatan kuasa eksekutif PLO adalah tidak sah berikutan ketidakhadiran satu pertiga daripada ahlinya.

Kesemua fraksi itu bersetuju bahawa cadangan ahli jawatankuasa PLO telah memberi ruang kepada lebih tekanan dan perpecahan di dalam arena Palestin. Mereka berkata bahawa pembentukan kerajaan campuran adalah untuk kepentingan rakyat untuk menghadapi cabaran sambil menambah bahawa dokumen perpaduan kebangsaan adalah asas kepada pembentukan kerajaan baru itu nanti. Mereka turut memberi amaran sekiranya pembentukan kerajaan itu dirujuk kepada persetujuan Washington mahupun pihak Quartet.

Bantahan dari “para pejuang” Fatah

Di dalam hiruk pikuk tuntutan PLO yang kemudiannya disuarakan oleh Abbas agar pilihanraya segera diadakan, muncul pula Farouk Qadumi. Sebagai ketua jawatankuasa politik PLO, beliau telah menolak dan menentang cadangan supaya pilihanraya majlis legaslatif diadakan di dalam tempoh yang terdekat. Pendirian tersebut telah dinyatakannya di dalam kenyataan bersama fraksi-fraksi perjuangan Palestin di Damsyik, Syria. Beliau telah diserang hebat oleh para pemimpin Fatah yang lain di dalam media Palestin. Sehinga kini, beliau masih lagi kekal dengan pendirian tersebut.


Sebagai ketua jawatankuasa politik PLO, Farouk Qadumi telah menolak dan menentang cadangan supaya pilihanraya majlis

legaslatif diadakan di dalam tempoh yang terdekat.

Pendirian beliau telah mendapat sokongan daripada sayap ketenteraan Fatah dari semua briged mereka yang ada. Briged Syuhada al-Aqsa, al-Majlis al-Askari al-A’laa, Briged Khalid Abu ‘Aker, Quwwat al-Sa’iqah, Briged Tauhid (Fatah), Briged Ahmad Abu Rish, adalah di antara kumpulan di dalam Fatah yang memberikan sokongan kepada Qadumi. Kumpulan-kumpulan tersebut telah menyatakan sokongan mereka terhadap Qadumi dan juga kepada fraksi perjuangan yang lain. Mereka telah menyatakan pendirian tersebut pada 17 Disember 2006, di dalam satu kenyataan mereka yang telah dilaporkan oleh laman web www.palestine-info.info . Mereka juga meminta agar masyarakat Palestin dan masyarakat dunia dapat membezakan siapakah Fatah yang sebenarnya.

Apa yang berlaku dengan jelas membuktikan kepada kita niat jahat sesetengah pihak yang berselindung di sebalik gerakan Fatah. Sesuatu yang pasti juga, di sebalik suasana kekecohan yang berlaku ini, ada pihak ketiga yang memainkan peranan lebih aktif. Malangnya, masyarakat dunia yang telah dikaburi dengan laporan agensi-agensi berita barat yang telah dimaklumi kecenderungan mereka telah berjaya ditipu. Akhirnya, ramai yang merasa kecewa, muak dan meluat dengan tanggapan bahawa rakyat Palestin tidak tahu bersatu dan sepatutnyalah mereka ditimpakan bala…

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.