Penunjuk Perasaan Diserang Semasa Bantahan Mingguan Bil’in, Aktivis British Ditahan

Rabu , 24-09-2014 – Puluhan rakyat Palestin mengalami sesak nafas akibat serangan Israel dalam satu bantahan mingguan Bil’in terhadap penjajahan tidak sah Israel dan tembok apartheid mereka. Menurut Palestinian News Network (PNN), dalam demonstrasi yang berlaku pada hari Jumaat,
September 19 itu, tentera Israel melepaskan tembakan peluru keluli dilapisi getah, bom bunyi dan juga gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan dari kawasan pusat perkampungan, berhampiran dengan lokasi tembok pemisah yang dijadualkan untuk dibina di situ.

Peserta tunjuk perasaan menaikkan bendera-bendera Palestin sebagai tanda perpaduan dan bantahan serta mengecam penjajahan Israel dengan dasar penyitaan tanah yang berlaku. Penunjuk perasaan juga mendesak pembebasan tahanan penjara dan menyeru semua rakyat Palestin untuk terus menolak penjajahan dan penindasan yang dilakukan oleh Israel. Dalam kejadian yang sama, tentera Israel menggunakan jip tentera untuk menangkap penunjuk perasaan. Tambah PNN lagi, seorang penunjuk perasaan berbangsa British turut ditahan.

sumber : http://www.imemc.org/
penterjemah : nur syarira