Pertemuan Abbas-Meshal: Selesaikah segalanya?


oleh : Maszlee Malik

Di sebalik kekalutan dan kekecohan dalaman di Palestin, pendapat umum (public opinion) rakyat Palestin menunjukkan mereka inginkan kesatuan dan kedamaian. Pada 23 Januari 2007, rakyat Palestin telah berhimpun di Gaza menuntut agar penubuhan “kerajaan nasional bersekutu” disegerakan. Ide yang pernah dilontarkan oleh HAMAS pada Mac 2006 sebelum membentuk kerajaan pimpinan mereka ini bagaikan dikitar semula.

Sewaktu ianya dilontarkan oleh HAMAS, Fatah yang diwakili oleh Saeb Erekat telah muncul di al-Jazeera menolak pelawaan HAMAS. Beliau dan juga pemimpin-pemimpin Fatah yang lain telah menjual mahal di atas pelawaan tersebut. Harapan mereka, biarlah kerajaan pimpinan HAMAS bersendirian akan diberikan hukuman oleh AS dan rejim Zionis.

Kini ide tersebut dikitar semula. Bermula dengan dokumen tahanan (wathiqah al-Asraa) yang diperjuangkan oleh Abbas pada awalnya, ide ini akhirnya menjadi agenda nasional. PFLP yang pada asalnya di antara penentang ide penubuhna kerajaan campuran tiba-tiba menjadi juara untuk mempromosikannya.

Masing-masing bagaikan menangguk di air yang keruh. Masing-masing cuba berlagak wira untuk menunjukkan kepada rakyat Palestin bahawa mereka adalah penyelesaian kepada kekalutan yang timbul di Palestin. Mutafa Barghouti juga tiba-tiba muncul untuk menjadi mediator kepada krisis HAMAS-Fatah dan cuba menjadi wira “kerajaan campuran”. Seperkara yang pelik, mengapakah sewaktu HAMAS mempelawa mereka dahulu, kesemuanya menolak?

Kerajaan campuran menurut Abbas

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas merupakan seorang pelakon yang paling handal. Beliau dikenal pasti sebagai seorang yang tidak mempunyai pegangan sendiri apatah lagi mewakili pandangan rakyat Palestin. Beliau lebih dilihat sebagai “Presiden (yang dipilih) AS bagi rakyat Palestin”. Ketika ide kerajaan campuran pasca dokumen tahanan dibawa oleh beliau, HAMAS begitu bersungguh-sungguh untuk tujuan tersebut. Beberapa pertemuan di antara pemimpin tertinggi HAMAS di Gaza dengan beliau telah diaturkan untuk tujuan tersebut. Pada awalnya beliau begitu positif. Malangnya selepas beliau dikunjungi oleh Condoleeza Rice, Setiausaha Luar AS buat kali pertama, beliau telah mengubah pendiriannya. Sewaktu kenyataan media bersama dengan Rice, beliau terus menggumumkan kegagalan usa penubuhan “kerajaan campuran”. Rakyat Palestin dibiarkan kebinggungan.


Mahmoud Abbas dikenal pasti sebagai seorang yang tidak mempunyai pegangan sendiri apatah lagi mewakili pandangan rakyat Palestin

Bagi HAMAS, ide kerajaan campuran merupakan hasrat mereka. Perpaduan di antara fraksi merupakan matlamat utama gerakan tersebut. Walau bagaimanapun, mereka telah meletakkan syrarat kepada Abbas untuk tujuan tersebut. Syarat yang paling utama, penubuhan kerajaan campuran bukanlah alasan untuk mengiktiraf penjajahan Zionis Israel. Penubuhan kerajaan campuran bukanlah usaha untuk mengiktiraf segala usaha mengiktiraf “Israel” yang pernah dilakukan oleh Fatah lewat Oslo 1993.

Mereka juga meletakkan syarat agar mereka yang dipilih ke kabinet merupakan pilihan daripada rakyat berdasarkan persefahaman dan perundingan di antara semua pihak. Syarat ketiga ialah pengagihan kerusi di dalam kabinet adalah berdasarkan bilangan anggota yang telah dipilih ke Majlis Legaslatif lewat pilihanraya Januari 2006 yang lalu. Syarat-syarat inilah yang tidak disetujui oleh AS dan juga rejim Zionis. Maka Abbas telah dijadikan perantara untuk menyuarakan pendirian mereka.

AS tidak mahu seorang pun wakil HAMAS di dalam kabinet. AS mahukan kerajaan campuran membawa kepada pengiktirafan kepada penjajahan Israel. AS juga mahukan mereka yang menentukan siapakah yang patut berada dan tidak patut berada di dalam kerajaan campuran tersebut. Perkara ini dilihat oleh HAMAS sebagai mencabuli kehendak rakyat Palestin. Kutipan suara di Gaza dan juga di kem-kem pelarian Lubnan dan Syria telah menunjukkan angka 80-81% dari kalangan rakyat Palestin menolak sebarang usaha untuk mengiktiraf penjajahan Israel. Keinginan rakyat inilah yang diterjemahkan ketika mereka memilih HAMAS pada pilihanraya Januari 2006 yang lalu. Di dalam hal ini HAMAS terpaksa bertegas.

Tuntutan Abbas

Abbas pula mempunyai tuntutan beliau yang tersendiri. Beliau mahukan kementerian yang strategik bagi wakil-wakil Fatah. Kementerian kewangan dan juga kementerian keselamatan dalam negeri merupakan dua pos yang beliau bertegas mahukannya. Tuntutan beliau ini tidak dapat diterima oleh HAMAS. Pertamanya, HAMAS telah bermurah hatimenawarkan kementerian luar dan kementerian penerangan kepada Fatah. Dua pos ini begitu strategik dan begitu penting di dalam mana-mana kerajaan. Malangnya bak kata pepatah “Diberi betis, diminta peha”. Lebih malang lagi, Abbas meletakkan syarat, jika dua kementerian yang beliau minta tidak dapat dipenuhi oleh HAMAS, maka ianya hendaklah diisikan oleh mereka yang bukan HAMAS. Hal ini sungguh tidak masuk akal. Bukan sekadar itu sahaja, Abbas juga pernah meminta agar jawatan Perdana Menteri juga diisikan oleh wakil bukan dari HAMAS.

Amat mengejutkan, HAMAS yang mementingkan perpaduan rakyat pernah menawarkan agar ianya diisikan oleh wakil yang neutral. Dr Muhammad Sybeir, rektor Universiti Islam Gaza pernah dicalonkan oleh HAMAS untuk tujuan tersebut. Berhubung isu ini, Hanneya pernah menegaskan bahawa HAMAS tidak memburu jawatan dan kedudukan. Bagi HAMAS, perpaduan rakyat itu lebih utama bagi mereka.


HAMAS tidak memburu jawatan dan kedudukan tetapi bagi HAMAS, perpaduan rakyat itu lebih utama bagi mereka.

Tuntutan Abbas sebenarnya mempunyai motif yang lain. Beliau pernah menggumumkan pembubaran pasukan keselamatan nasional yang ditubuhkan oleh kementerian keselamatan dalam negeri, Dr Saed Siyam. Tujuannya agar pasukan bersenjata di bawah pentadbiran beliau sahajalah yang berkuasa. Bukan lagi rahsia, pasukan bersenjata ataupun lebih dikenali sebagai “pengawal presiden” merupakan onar di sebalik kekecohan yang berlaku di Palestin. Muhammad Dahlan, pemimpin pemberontak di Palestin merupakan orang yang paling berkuasa di kalangan kumpulan bersenjata atau pengawal presiden tersebut. Beliaulah yang bertanggungjawab menubuhkan “Fariq al-Maut” (Kumpulan Maut) dan juga pemimpin kumpulan pemberontak (al-Tayar al-Inqilaabiyy) yang membuat kekacauan di seluruh Palestin. Kewujudan pasukan keselamatan nasional di bawah pimpinan Siyam yang dianggotai oleh kesemua fraksi bersenjata Palestin hanya akan menjadi penghalang kepada usaha Dahlan.

Keadaan ini akan menggagalkan usaha AS dan rejim Zionis melalui Dahlan untuk menjatuhkan kerajaan HAMAS. Abbas selaku pelindung Dahlan tidak mahu perkara ini berlaku. Maka penyelesaiannya ialah dengan membubarkan pasukan keselamatan tersebut. Malangnya, perlembagaan tidak bersama Abbas. Perlembagaan Palestin dengan jelas meletakkan bidang kuasa kementerian keselamatan dalam negeri merupakan pihak yang bertanggung jawab mengendalikan pasukan keselamtan tempatan.

Bertitik tolak dari kesedaran inilah HAMAS menolak tuntutan Abbas untuk pos kementerian kesalamatan dalam negeri. Mengenai pos kementerian kewangan pula, tindakan HAMAS difahami oleh semua pihak, termasuk Bush sendiri. Ketika Fatah kalah teruk di dalam pilihanraya Januari 2006 yang lalu, Bush telah membuat komentar. Beliau telah menyalahkan Fatah yang terkenal dengan imej kotor, korupsi dan juga pecah amanah. Unusr-unsur tersebutlah yang telah mendorong rakyat Palestin untuk menolak Fatah. Jika diadakan pilihanraya sekali lagi pun, nescaya rakyat tidak akan memilih Fatah.

Memang ada kebenarannya, ketika pungutan suara secara rambang diadakan di seluruh palestin oleh al-Markaz al-Filistini li al-I’laam yang berpusat di Gaza, pilihan tidak melebihi 25% diberikan kepada Fatah jika pilihanraya awal diadadakan. 50% rakyat masih bersama HAMAS. Adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab di pihak HAMAS jika mereka menyerahkan kementerian kewangan kepada Fatah yang dikenali sebagai koruptor dan pecah amanah.

Kegagalan Abbas

Abbas kini di dalam keadaan terdesak. Bukan sekadar beliau menjadi tidak popular di kalangan rakyat Palestin, malah imej beliau juga tercalar kerana kegagalan beliau meraih sokongan fraksi-fraksi Palestin untuk pilihanraya awal. Keadaan menjadi lebi memalukan apabila cadangan beliau itu turut ditolak oleh orang kanan PLO dan veteran Fatah, Farouq Qadoumi (Abu Lutf) secara besar-besaran.

Qadoumi yang telah menyertai fraksi-fraksi Palestin yang lain di Damsyik pada 17 Disember yang lalu telah menolak cadangan Abbas yang disifatkan sebagai tidak demokratik den bertentangan dengan kehendak majoriti rakyat Palestin. Keadaan menjadi semakin keruh apabila komando-komando Fatah sendiri mengumumkan penolakan ide tersebut. Hal ini telah membuatkan Dahlan yang merupakan dalang kekecohan di Palestin sedang giat sehingga hari ini melakukan usaha “membeli” pasukan-pasukan bersenjata dari kumpulan Fatah. Dari Gaza ke Tebing Barat, beliau telah menaburkan duit kepada pasukan-pasukan pejuang bersenjata Fatah demi membeli prinsip mereka.


Bukan sekadar beliau menjadi tidak popular di kalangan rakyat Palestin, malah imej beliau juga tercalar kerana

kegagalan beliau meraih sokongan fraksi-fraksi Palestin untuk pilihanraya awal.

Abbas juga menjadi semakin tertekan apabila tindakannya membubarkan pasukan keselamatan nasional di bawah kementerian dalam negeri dikritik hebat. Tamparan hebat kepada beliau juga apabila anggota tertinggi Fatah telah menggesa agar Muhammad Dahlan dilucutkan keahlian daripada Fatah kerana telah membawa imej yang buruk kepada parti tersebut. Dahlan amat bertuah kerana Abbas sendiri telah membela beliau dan mendiamkan semua pemimpin tertinggi Fatah daripada terus mengutuk Dahlan. Tuntutan tersebut amat wajar. Dahlan ketika muncul di siaran televisyen Palestin dengan bangga mengatakan baha percubaan membunuh PM Palestin, Ismail Haneyya merupakan “satu kemuliaan”. Beliau juga telah melampaui batas mencerca dan mencabar HAMAS selaku kerajaan yang berkuasa. Tindakan pasukan bersenjata di bawah pimpinan beliau yang telah membunuh, menculik dan mencedrakan rakyat Palestin juga turut dikecam oleh para pemimpin Fatah. Walaupun kebanyakan pemimpin politik Fatah tidak sukakan HAMAS dan mengharapkan agar HAMAS jatuh, tetapi cara Dahlan dianggap oleh mereka sebagai terlalu malampaui batas.

Abbas mencari sokongan

Abbas kini terpaksa mencari sokongan luar. Sokongan daripada AS dan rejim Zionis tidak memberikan beliau kredit untuk meyakinkan rakyatnya sendiri. Beliau tahu, beliau tidak sepopular mantan presiden Palestin yang lalu, Yaser Arafat. Kelemahan beliau selama ini ialah beliau tidak mendapat sokongan dari negara-negara Arab kecuali Mesir dan Jordan. Memanglah, mengharapkan kesemua negara-negara Arab menyokong isu Palestin adalah ibarat mengharapkan bulan jatuh ke riba. Walau bagaimanapun kejayaan HAMAS meraih simpati negara-negara Arab untuk membantu mereka meringankan beban yang ditanggung oleh kerajaan Palestin telah membuka mata Abbas. Lihatlah, bantuan dari Qatar, Sudan, Kuwait, Algeria, Yaman, Syria dan juga dari negara-negara Islam yang lain seperti Iran dan juga Malaysia. Perkara seumpama ini adalah di luar jangkaan Abbas.


Kelemahan Mahmoud Abbas selama ini ialah beliau tidak mendapat sokongan dari negara-negara Arab kecuali Mesir dan

Jordan.

Rakyat Palestin yang pernah memberikan tempoh enam bulan sahaja kepada HAMAS untuk mereka bersabar kini tidak lagi menuntut lebih daripada apa yang mereka kecapi. Sekatan ekonomi oleh AS dan negara-negara barat itu telah memberikan kredit kepada HAMAS untuk membuktikan kepada rakyat Palestin bahawa mereka mampu mentadbir negara walaupun di dalam keadaan yang getir. Keadaan seperti ini sekaligus telah membawa kepada pengiktirafan pemerintahan HAMAS di mata rakyat Palestin dan juga di kalangan para pemimpin Arab yang terlibat. Fenomena ini memaksa Abbas juga melakukan perkara yang sama, iaitu mendapatkan sokongan dari kalangan para pemimpin Arab. Maka beliau pun memulakan rangka lawatannya ke negara-negara Arab yang sedang berlangsung kini.

Pertemuan yang mendebarkan

Lawatan beliau ke Syria sebenarnya adalah bertujuan mendapatkan sokongan daripada pemerintah Syria. Beliau tahu bahawa Syria mempunyai hubungan yang lebih selesa dengan HAMAS berbanding dengan Fatah. Rangka lawatan beliau tidak pernah membawa agenda untuk bertemu dengan Khaled Mishal. Beliau dan juga kumpulan pemberontak amat-amat tidak mengharapkan pertemuan itu berlaku. Penubuhan kerajaan campuran hanya akan menggagalkan agenda kumpulan pemberontak.

Di atas dasar inilah kita melihat berita pertemuan beliau dengan ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishal terus diselubungi teka teki. Di al-Jazeera sahaja, sepanjang 24 jam, terdapat lebih daripada lima perubahan. Seketika, HAMAS menegaskan adanya perjumpaan, beberapa jam kemudian Saeb Erekat muncul menafikannya, kemudiannya HAMAS muncul menafikan adanya pertemuan, beberapa jam selepas itu pula, Fatah menggumumkan pertemuan. Akhirnya segala teka teki terjawab apabila kedua-dua pemimpin tersebut muncul membuat kenyataan media bersama.


Kehendak rakyat bukanlah persoalannya, kerana segala keputusan Abbas telah pun diputuskan di Washington D.C. dan

juga di Tel Aviv.

Malangnya, apa yang diharapkan oleh majoriti rakyat Palestin tidak berlaku. Mereka berharap agar pertemuan tersebut akan dapat menyelesaikan persoalan kerajaan campuran yang menjadi isu pokok rakyat Palestin. Malangnya, kedua-dua mereka hanya bersetuju untuk melanjutkan perbincangan mengenai perkara tersebut. Tiada persetujuan berkaitan perkara-perkara fundamental berkaitan kerajaan campuran diselesaikan.

Bagi para penganalisis politik Timur Tengah, keadaan sedemikian sudah dijangka. Abbas tidak akan mampu membuat keputusannya sendiri. Beliau terpaksa bertanyakan kepada “tuan”nya untuk segala keputusan yang melibatkan kepentingan Fatah. Kehendak rakyat bukanlah persoalannya, kerana segala keputusan Abbas telah pun diputuskan di Washington D.C. dan juga di Tel Aviv.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.