Tentera Rejim Israel culik seorang wanita dan kanak-kanak dekat Masjid Al-Aqsa.

Khamis, 13-08-2015 – Tentera Rejim Israel menculik 2 kanak-kanak di Sheikh Jarah pada petang Isnin dan pada Selasa pula, seorang wanita dan kanak-kanak warga Palestin diculik berdekatan salah satu pintu masuk Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqaddis yang dijajah Israel. Pihak tentera rejim itu juga turut menghalang wanita dan kumpulan kanak-kanak yang sedang mengadakan perkhemahan musim panas di perkarangan masjid dari memasuki ruang dalam masjid tersebut.

Menurut laporan Pusat Infomasi Wadi Hilweh di Silwan (Silwanic), pihak polis dan tentera rejim Israel menghalang lebih 300 kanak-kanak dari memasuki masjid tersebut dengan menolak keluar ramai kanak-kanak di situ dalam usaha untuk menakut-nakutkan mereka.

Pihak polis rejim Israel itu juga turut menyemak dan menghalang mana-mana wanita warga Palestin yang nama mereka telah disenaraihitamkan dari memasuki masjid berkenaan.

Pusat itu juga berkata, tentera rejim telah menculik seorang wanita dikenali sebagai Seham Odeh atas tuduhan memukul seorang tentera wanita Israel dan menculik seorang kanak-kanak, Mohammad Morad al-Bayya, 13 tahun kerana membaling telor ke arah mereka.

sumber : http://www.imemc.org/
penterjemah : redz