Tentera rejim Israel serbu bangunan kebajikan, tahan warga tempatan di al-Khalil.

Rabu, 25-11-2015 – Tentera rejim Israel bertindak menyerbu masuk sebuah bangunan cawangan baru milik Persatuan Kebajikan Islam di bandar al- Khalil pada awal pagi hari Ahad, kelmarin. Dalam kejadian lain pula, mereka bertindak menahan dan membawa pergi beberapa orang warga tempatan dari beberapa kawasan berbeza di daerah itu.

Menurut kata jurucakap persatuan itu kepada Palestinian Information Center (PIC), anggota tentera Israel telah memecah masuk dan mengeledah bangunan badan kebajikan yang terletak di kawasan perumahan al-Khirba dekat Perbandaran Ashiyukh selepas bertindak memecahkan pintunya.

Tambah jurucakap itu lagi, anggota tentera Israel membawa keluar apa saja kelengkapan yang masih tinggal di dalam bangunan itu seperti kerusi, set telefon, mesin pencetak, fail dan mengisinya ke dalam trak sebelum dibawa pergi. Sebelum itu, kira-kira 10 hari yang lalu, bangunan pejabat badan kebajikan yang menyediakan pelbagi kemudahan untuk anak yatim itu telah diserbu dan kelengkapan yang ada di dalamnya telah dirampas oleh pihak tentera rejim.

Dalam kejadian lain, PIC turut melaporkan tindakan pihak tentera rejim Israel yang menahan dan membawa pergi 15 warga Palestin dari rumah mereka dalam kempen penahanan besar-besaran yang dijalankan di beberapa kawasan berbeza di daerah itu.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : zainudin mhd ali