Berkongsi Isu Palestin Dengan Bukan Islam


Pertama-tamanya, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang sedang menganjurkan Minggu Palestin atau Palestinian Week 2004 yang akan berakhir 19 April ini. Sesungguhnya program-program yang dirancang pada kali ini telah diberi nafas baru demi meniupkan kesedaran yang diteruskan dengan tindakan, khususnya di kalangan warga Taman Ilmu dan Budi sendiri. Malah, saya amat yakin bahawa program Video and Talk Show semalam yang menampilkan Dato? Dr. Jemilah Mahmood sebagai panelis tunggal dan saudara Nizal Mohamad sebagai moderator, telah memberikan kesan yang sangat mendalam kepada semua hadirin.


Antara isu berkaitan yang perlu diambil perhatian ialah perkongsian isu Palestin dengan seluruh masyarakat dengan lebih meluas termasuklah masyarakat bukan Islam. Isu Palestin yang sudah lebih 50 tahun diperjuangkan tidak harus terus diperjuangkan di kalangan masyarakat Islam sahaja. Demi mewujudkan dunia yang aman, perpaduan dan kesatuan di dalam isu antarabangsa ini harus diperluaskan dan diperjelaskan kepada seluruh lapisan masyarakat termasuklah masyarakat bukan Islam. Saya pasti mereka juga mahukan masa depan dunia yang damai dan harmoni. Saya juga yakin bahawa mereka bersedia menyahut cabaran untuk terus memperjuangkan kebenaran. Malah, saya amat pasti ramai di kalangan masyarakat bukan Islam yang sangat sensitif dengan isu pencabulan hak asasi manusia walau di mana sahaja, apatah lagi isu Palestin yang telah memaparkan episod pencabulan hak asasi manusia yang tidak dapat diterima oleh sesiapapun yang mengaku dirinya sebagai manusia! Hati siapa tidak tersentuh dengan penderitaan rakyat Palestin yang juga berbilang agama? Hati siapa tidak terusik dengan pembunuhan kanak-kanak yang tidak berdosa dan pencabulan maruah wanita yang lemah tak bermaya? Hati siapa tidak menangis dengan pembunuhan kejam pejuang Palestin yang sudahpun lumpuh di kerusi rodanya?

Maka, sebagai manusia yang mencintai keamanan, mengapa tidak kita bersatu dengan semua pencinta keamanan yang lain? Bumi ini dikongsi bersama, maka mengapa hanya berjuang seorang diri untuk memastikan bumi yang aman? Malah di Palestin sendiri, ramai sekali sukarelawan dan masyarakat Palestin bukan Islam yang turut memperjuangkan kemerdekaan dan hak rakyat Palestin sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa sendiri! Mengapa? Kerana mereka juga manusia yang punyai naluri kemanusiaan. Mengapa? Kerana mereka juga cintakan keamanan. Mereka juga tahu membezakan prinsip keadilan dan kezaliman. Mereka juga percaya bahawa masih ada peluang untuk kebenaran bertapak kukuh di bumi Palestin dan di dunia ini. Mereka juga percaya bahawa peperangan lebih membawa kepada kehancuran.

Malah, sebagai pelajar Perbandingan Agama, saya juga yakin semua agama menuntut penganutnya berpegang dengan prinsip-prinsip etika yang sama sekali akan menidakkan tindakan kejam dan bersifat kebinatangan ke atas manusia. Penganut agama Hindu tentu sekali percaya bahawa mereka perlu melakukan kebaikan demi mencapai Moksha. Malah, penganut agama Buddha yang berpegang dengan konsep Nirvana dan ?10 Precepts? tentu sekali tidak akan membenarkan pembunuhan kejam yang telah berlaku di Palestin berdekad-dekad lamanya. Penganut agama Kristian pula tentu sudah lazim dengan ajaran Bible yang menolak kekejaman dan pencabulan hak asasi manusia.

Maka, di sinilah relevannya isu ini untuk dikongsi bersama hatta dengan masyarakat bukan Islam. Titik pertemuan yang sangat signifikan ini sudah tentunya akan membuka lembaran baru dalam kehidupan masyarakat dunia yang memperjuangkan keamanan. Penyatuan tenaga dan usaha seumpama inilah yang kita nantikan setelah sekian lama.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Tentu sekali masih ada ruang untuk kita bergabung tenaga dan idea, menyumbangkan bantuan kewangan dan harta benda, malah menyebarkan isu perjuangan di Palestin dengan fakta yang sahih ke dalam kepelbagaian bahasa dan bangsa di Malaysia. Contohnya, seluruh lapisan masyarakat boleh memperluaskan isu ini melalui lagu, kartun, majalah dan suratkhabar dalam pelbagai dialek dan bahasa. Pendek kata, pendidikan dan pemahaman tentang isu sebenar di Palestin ini perlu disebarkan melangkaui batasan bangsa, bahasa dan agama dengan satu matlamat yang kita semua impikan: mewujudkan dunia yang lebih aman!

Masyarakat Malaysia berbilang kaum telah bersatu menyumbang dan membantu misi kemanusiaan di Bam, Iran dan juga Iraq. Pengorbanan tersebut tentunya tambah bermakna dengan kesediaan untuk terus mengekalkan perpaduan dan sokongan di dalam isu Palestin ini. Kesatuan dan perpaduan unik ini tentunya akan menghasilkan suara baru yang teguh memperjuangkan keamanan dan kedamaian.

Maka, saya mengajak seluruh masyarakat Islam untuk bersama ?bercerita dan berkongsi? isu Palestin yang sebenar dengan sahabat-sahabat kita yang bukan Islam. Saya juga menyeru kepada masyarakat bukan Islam untuk sama-sama menganalisis tragedi di Palestin dari kaca mata pencinta kedamaian. Justeru, marilah kita berganding bahu demi merealisasikan keamanan dunia yang kita impikan!

Maryam Jailani

Pelajar Tahun 3

Jurusan Perbandingan Agama, UIAM.

my_safi@hotmail.com

(Exco Research & Developement Karisma International)

This entry was posted in Uncategorized. Bookmark the permalink.