Pemerintah Akan Ambil Sikap Tegas Apabila Embargo Tidak Ditamatkan.


Rabu, 25/04/07 –

Dalam satu atau dua bulan mendatang, kerajaan perpaduan nasional Palestin akan membuat keputusan yang tegas apabila embargo yang dikenakan terhadap rakyat Palestin tidak ditarik balik. Demikian ditegaskan PM Palestin, Ismail Haniyah di Gaza, Selasa (24/04). Beliau menegaskan bahawa “orang-orang Palestin sudah terlalu lama bersabar menanggung penderitaaan akibat tindakan-tindakan sesuka hati penjajah di satu sisi dan embargo zalim yang dikenakan terhadap bangsa ini pada sisi lain.”

Beliau menyatakan, keputusan nasional ini akan menjadi persetujuan bersama Palestin yang mendukung kepentingan bangsa. Termasuk hal yang berkaitan adalah reaksi kepada tindakan dan ancaman-ancaman Zionis Israel terhadap kota-kota dan perkampungan Palestin, terutama ancaman terakhir Zionis Israel untuk menduduki kembali
Semenanjung Gaza. Sebanyak 8 kali sidang telah diadakan oleh dewan kabinet, dihadiri semua wakil politik dan masing-masing menyampaikan pendapatnya untuk membincangkan semua masalah serta berusaha mencapai keputusan dan kesepakatan bersama.

Mengenai isu keamanan, Haniyah menegaskan bahawa kerajaan bertekad terus melaksanakan rancangan yang sudah diputuskan kementerian dalam negeri. Beliau menjelaskan “kerajaan dengan pelbagai ragam menterinya, menghormati pengunduran diri Menteri Dalam Negeri Hani Qawasimi, yang diajukan dan telah kami tolak. Semua (menteri) menyatakan sokongan padanya untuk merealisasikan rancangannya yang akan
dimulakan dari selatan hingga utara Semenanjung Gaza.”

Mengenai jalan keluar dari realiti kewangan dan usaha kerajaan untuk mengatasi embargo ekonomi, Haniyah menyatakan tentang dana yang telah dijanjikan Liga Arab sebagai pihak pendukung kewangan yang harus mencairkan dana kepada bangsa Palestin dari luar. Demikian juga dana yang menjadi hak Palestin dan ditahan oleh pihak
Zionis Israel. Beliau menegaskan bahawa Palestin memiliki dana terkumpul yang seharusnya diterima sejak tahun lalu, jumlahnya mencapai USD1.5 billion di samping dana pendapatan pemerintahan (Fatah) sebelumnya.

Beliau menambah, pemerintah telah mengirim bersama Menteri Kewangan, Salam Fayadh
beberapa surat kepada pihak-pihak yang berkaitan untuk membayar dana tersebut kepada bangsa Palestin. Termasuk Arab Saudi yang telah menjadi tuan rumah Sidang Liga Arab di Riyadh dan menerajui inisiatif “Kesepakatan Mekah”. Beliau mengingatkan bahawa tidak mungkin kesepakatan itu kekal tanpa komitmen pembayaran dana yang menjadi asas kelangsungan kesepakatan tersebut. Menurutnya, Arab Saudi menunjukkan usaha yang
positif dengan memasukkan wang ke akaun sebanyak USD250 juta. Ia diharapkan dapat
mengatasi sebahagian besar kesulitan pembayaran gaji kakitangan kerajaan. Pihaknya berharap dana itu akan sampai ke Palestin dalam waktu terdekat.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.