Polis Israel menyekat pegawai keselamatan Masjid Aqsa dari memasuki masjid

Isnin , 24-07-2017 – Menurut Bahagian Perhubungan Awam Masjid Al-Aqsa, Polis Israel telah bertindak menyekat semua pegawai keselamatan Masjid Al-Aqsa dari memasuki perkarangan masjid.

Sementara itu, wartawan PIC melaporkan bahawa Polis Israel menyerang sekumpulan warga Palestin dan Ahli Majlis Awqaf yang sedang menunaikan solat Zuhur di Pintu Al-Asbat dan memasuki masjid tanpa melalui pengimbas logam yang baru dipasang di pintu masuk masjid.

Ketua Hakim Jerusalem, Sheikh Wasif al-Bakri, menggesa orang islam diberikan kebenaran untuk solat secara bebas di Masjid Al-Aqsa dan menolak kawalan keselamatan terbaru sambil berkata ianya “melanggar status quo masjid tersebut”.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa Israel kembali membuka kota lama Jerusalem kepada umum secara berperingkat bermula Ahad lepas. Bagaimanapun, penduduk Palestin masih disekat dari memasuki kota tersebut.

sumber : http://www.palestine-info.co.uk/
penterjemah : wea