Seorang Pemuda Terkorban Ditembak Israel dan Puluhan Lagi Tercedera di Salfit

Jumaat , 15-03-2019 -  Seorang pemuda Palestin terkorban dan puluhan lainnya cedera pada Selasa (12/3/2019) malam akibat serangan tembakan pasukan penjajah Israel di kota Salfit di Tebing Barat utara. Dalam sebuah pernyataan singkat, Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan bahawa seorang pemuda bernama Mohammed Jamil Shahin berusia 23 tahun meninggal dunia ketika berlaku pertempuran dengan pasukan penjajah Israel di Salfit. 

Sementara itu Pasukan Bulan Sabit Merah Palestin mengatakan bahawa pasukannya menguruskan 40 mangsa yang tercedera akibat terkena tembak peluru dan meriam gas dan air pemedih mata ketika terjadi pertempuran dengan pasukan penjajah di kota Salfit.

Disebutkan bahawa Jamil Shahin adalah korban kedua di Tebing Barat pada hari Selasa lalu. Sebelumnya pasukan penjajah Israel menahan Yasser Fawzi Shuweiki, 27 tahun, di timur Hebron, kerana didakwa cuba menikam pasukan keselamatan di sebuah pos pemeriksaan tentera. Sumber-sumber tempatan mengatakan bahawa Jamil Shahin cedera ditembak di jantung, setelah pasukan penjajah Israel menyerbu jalan-jalan kota Munawarah dan al-Quds di pusat kota Salfit. Dia mengalami luka parah dan serius sebelum akhirnya meninggal dunia.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : Osman