Netanyahu Cemari Masjid Ibrahimi

Jumaat, 06-09-2019 –Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu hari Rabu lalu telah mencemarkan Masjid Ibrahimi di al-Khalil, hanya beberapa jam setelah Presiden Israel Reuven Rivlin melawat kawasan yang sama.

Lawatan Netanyahu berkenaan hanya beberapa hari sebelum berlangsungnya pilihanraya di Israel, dan Perdana Menteri berkenaan bertujuan ingin meraih undi daripada penduduk haram Israel.

“Kami bukannya asing di Hebron. Kami akan tinggal di sana selama-lamanya,” ucap Netanyahu ketika menghadiri majlis sempena memperingati 90 tahun sejak 60 orang Israel dibunuh di al-Khalil ketika Revolusi Palestin Al-Buraq dalam tahun 1929.

Masjid Ibrahimi terletak di Bandar Lama al-Khalil yang didiami oleh kira-kira 400 penduduk haram Yahudi di bawah kawalan keselamatan yang ketat oleh askar Israel.

Pihak berkuasa Kementerian Luar Negara Palestin mengutuk sekeras-kerasnya lawatan Netanyahu, dan menyifatkannya sebagai berunsur “perkauman” dan “provokatif”.

“Lawatan ini adalah ternyata penjajahan yang berbaur perkauman, yang telah dirancang Netanyahu di ketika kemuncak pilihanraya, dalam usaha untuk meraih undi daripada pihak-pihak berhaluan kanan dan pihak pelampau kanan,” menurut kenyataan rasmi pihak kementerian.

Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin berkata bahawa lawatan berkenaan adalah suatu tindakan meruncing yang serius yang akan “mengheret kawasan ini ke dalam perang keagamaan yang akan mendatangkan akibat yang sangat buruk.”  

Gerakan Perjuangan Islam, Hamas, telah mengecam lawatan berkenaan dan menekankan bahawa al-Khalil, Baitulmaqdis dan seluruh Palestin akan sentiasa kekal sebagai Arab, dan apa sahaja usaha pihak Israel untuk mengubah identiti mereka akan menemui kegagalan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul