Tentera Israel bunuh wanita Palestin di tempat pemeriksaan Qalandiya

Isnin, 23-09-2019 – Rejim Zionis telah menembak mati seorang wanita Palestin di tempat pemeriksaan Qalandiya, di utara kawasan terjajah Baitulmaqdis, Rabu lalu.

Saksi kejadian mendakwa bahawa tentera Zionis yang bertugas di tempat pemeriksaan Qalandiya telah menembak seorang wanita Palestin yang berumur di dalam lingkungan lima puluhan dan telah membiarkan beliau berdarah sampai mati, atas tuduhan kononnya menyimpan sebilah pisau dan merancang untuk membuat serangan dengan cara menikam.

Wanita berkenaan telah dipindahkan ke sebuah hospital Israel di Hadassah di mana beliau telah diisytiharkan meninggal dunia.

Rejim Zionis kemudiannya telah menutup tempat pemeriksaan tersebut dan menghalang sebarang pergerakan keluar masuk penduduk dan kenderaan Palestin.

Sebuah petikan video yang dimuat naik di media sosial telah menampakkan askar Israel menembak wanita Palestin berkenaan, walaupun beliau berada beberapa meter jauh daripada mereka.  

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul