2000 Unit Rumah di Gaza Musnah sejak Serangan Israel 2014

Khamis, 26-09-2019 -  Jamal Khudhri, ketua Jawatankuasa Rakyat untuk Melawan Sekatan, Selasa (24/9/2019), mengatakan bahawa sebanyak 2000 unit rumah di Semenanjung Gaza telah musnah  sejak serangan dan pencerobohan Israel pada musim panas tahun 2014 lalu.

Beliau menambah bahawa unit-unit rumah tersebut belum dibangun semula meskipun sudah lebih lima tahun serangan berlaku disebabkan kekurangan dana.

Beliau menegaskan bahawa pembinaan semula adalah tuntutan moral, kemanusiaan dan undang-undang terutama kerana ribuan keluarga mangsa serangan Israel masih terlantar dan menjadi pelarian.

Dalam Persidangan Pembinaan Semula Gaza yang berjalan di Kaherah, Selasa 24 September, Khudhri meminta kepada para penyumbang untuk memenuhi komitmen kewangan mereka kepada para pemilik rumah yang musnah keseluruhannya dan belum dibangun sama sekali.Beliau juga meminta para penyumbang utama persidangan iaitu Mesir dan Norway untuk mengambil langkah praktis dan memberikan komitmen bagi menamatkan penderitaan keluarga mangsa serangan Israel.

Jamal Khudhri mengatakan, "Semenanjung Gaza mengalami tragedi sekatan dan serangan. Para pemilik rumah yang musnah mengalami penderitaan hidup dengan berpindah randah dan menjadi pelarian, ditambah dengan derita sekatan, serangan dan situasi ekonomi yang sukar".

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman