Petani Palestin cedera dalam serangan di Tebing Barat

Rabu, 16-10-2019 – Tiga orang petani Palestin cedera pada hari Sabtu dan Ahad lalu dalam suatu serangan oleh peneroka-peneroka haram ketika menuai zaitun di Ramallah dan Bethlehem.

Sumber-sumber tempatan menyatakan bahawa dua petani Palestin yang dikenali sebagai Mus’ab Da’mas dan Tareq Da’mas, mengalami kecederaan sederhana pada petang Sabtu selepas diserang penduduk haram Israel ketika mereka memetik buah zaitun di kampung Ras Karkar, di barat Ramallah.

Pada hari Ahad pula seorang petani Palestin yang berusia di dalam lingkungan tujuh puluhan cedera selepas dibelasah oleh peneroka haram Israel di Bethlehem.

Aktivis Hasan Breijiya mengatakan bahawa sekumpulan peneroka haram Israel telah menyerang petani Palestin Fadel Hamdan apabila beliau bersemuka dengan mereka semasa mereka sedang mencuri buah zaitun di tanah Palestin di kampung al-Jab’a.

Hamdan telah dipindahkan ke sebuah hospital tempatan untuk rawatan dan keadaannya dilaporkan stabil.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul