Tahanan bermogok lapar dipindah ke hospital

Selasa, 29-10-2019 – Rejim Zionis  Israel pada hari Khamis lalu telah memindahkan tahanan Jordan Heba al-Labadi ke hospital berikutan keadaan kesihatannya yang makin merosot, setelah hampir sebulan beliau melancarkan mogok lapar tanpa penghujung sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran beliau, kata Kementerian Luar Negera Jordan.

Jurucakap kementerian, Sufyan Qudah berkata dalam satu kenyataan akhbar bahawa Heba dipindahkan ke hospital pada hari Khamis lalu dan telah memberikan rawatan yang diperlukan sebelum dia dikembalikan ke penjara pada hari yang sama.

“Keadaan kesihatan Heba kini stabil,” Qudah mengesahkan.

Bapa Heba, Ahmad al-Labadi, berkata dalam sebuah kenyataan kepada akhbar Quds bahawa anak perempuannya, yang telah mogok lapar selama 31 hari, mengalami keletihan, pening dan komplikasi yang berkaitan dengan jantung.

Heba al-Labadi ditangkap oleh rejim Zionis Israel pada 20 Ogos lalu ketika beliau tiba bersama ibunya di persimpangan al-Karama untuk menghadiri majlis perkahwinan di Nablus di Tebing Barat.

Dalam minggu-minggu pertama penahanannya, Heba telah disoal siasat dan diseksa dengan teruk dan telah dihalang daripada berjumpa dengan keluarga. Kira-kira 33 hari selepas ditahan, mahkamah Israel telah mengeluarkan perintah tahanan pentadbiran selama lima bulan terhadapnya dan dia dipindahkan ke penjara Damon, walaupun tiada pertuduhan yang telah dibuat terhadapnya.

Israel sedang menahan 22 warga Jordan dalam penjara mereka. Paling terkini adalah Heba al-Labadi dan Abdulrahman Mar’i yang sedang menderita sakit kanser dan memerlukan rawatan perubatan segera.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul