Jet Israel Tembak Drone Gaza yang Terbang Mendekati Sempadan

Khamis, 31-10-2019 – Militan penjajah Israel pada Selasa (29/10/2019) malam mengumumkan bahawa jet tempurnya telah menembak jatuh sebuah pesawat tak juruterbang (drone) yang terbang rendah berhampiran pagar keselamatan yang memisahkan Semenanjung Gaza dengan wilayah Palestin yang diduduki penjajah Israel sejak tahun 1948.

Saluran televisyen Israel “chanel 12″ menyiarkan berita berkaitan sebuah drone kelihatan terbang rendah berdekatan dengan pagar sempadan. Pesawat tanpa juruterbang tersebut terbang pada ketinggian 4 km, ketinggian yang digambarkan oleh militan penjajah Israel sebagai “tidak normal”.

Sementara itu, tentera  penjajah Israel mendakwa bahawa drone tersebut tidak menimbulkan ancaman kepada pasukan atau warga Israel.

Militan penjajah Israel tidak menyebutkan pihak yang bertanggung jawab atas penerbangan  drone di sempadan tersebut. Sememangnya diketahui bahawa dua sayap militan di Palestin, Brigade Al-Qassam daripada gerakan Hamas dan Brigade Al-Quds dari Jihad Islam, kedua-duanya memiliki drone dengan pelbagai fungsi.

Media penjajah Israel melaporkan kejadian ini dengan penuh kekhuatiran dan keprihatinan. Mereka melaporkan bahawa sistem militan Israel berjaya mengesan drone Palestin yang terbang di ruang udara Semenanjung Gaza berdekatan pagar sempadan pada ketinggian “sangat tinggi” lebih dari 10.000 kaki.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman