Isu Palestin : Kata mesti di kota.

Isnin, 04-11-2019 – Kegagalan untuk mengakhiri pendudukan Israel di Palestin dan mencapai keamanan dan kebebasan untuk Palestin adalah suatu “titik hitam mendalam” terhadap misi dan objektif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kata Menteri Perhubungan Antarabangsa Afrika, Naledi Pandor, di Majlis Keselamatan PBB Isnin lalu. Dalam minggu terakhir Afrika Selatan sebagai presiden Majlis Keselamatan, Pandor berada di New York untuk mempengerusikan perbahasan terbuka suku tahunan Majlis mengenai salah satu isu paling lama dalam agenda Majlis: pendudukan Israel di Palestin.

Terdiri daripada lima anggota tetap: China, Perancis, Rusia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat – Pandor mengkritik keras semua anggota atas kegagalan untuk melaksanakan resolusi mereka sendiri, khususnya Resolusi 2334 tahun 2016 yang mengisytiharkan kegiatan pendudukan Israel di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur sebagai “pelanggaran terang-terangan” perundangan antarabangsa “tanpa undang-undang yang sah”. Resolusi itu menuntut agar Israel menghentikan kegiatan pendudukan tersebut dan memenuhi kewajipannya sebagai kuasa yang menduduki di bawah Konvensi Geneva Keempat.

Dalam rujukan sinis terhadap pengiktirafan Donald Trump ke atas Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, Pandor mengatakan bahawa resolusi itu telah diperlekehkan “melalui keputusan sebelah pihak yang bertujuan untuk menentukan hasil rundingan dari awal. Itu menandakan niat tidak jujur dan tidak akan dapat menjamin keamanan. “

Pandor menggesa tindakan antarabangsa  untuk mewujudkan kempen solidariti, memberikan tekanan dan menyatakan sokongan padu, serupa dengan tindakan yang tlah akhirnya menghancurkan rejim apartheid di Afrika Selatan. “Tindakan dan keazaman PBB untuk mengakhiri jenayah kemanusiaan telah membantu perjuangan kami sendiri. Kita memerlukan perpaduan, bantahan dan komitmen antarabangsa yang serupa untuk Palestin. “

Pandor juga melahirkan kebimbangan terhadap pengabaian berterusan ke atas isu-isu yang dibangkitkan oleh Palestin berkenaan status akhir dalam Proses Damai seperti penyempadanan, kepulangan pelarian, status Baitulmaqdis dan penempatan haram Israel. “Jelas sekali mereka yang melakukan tindakan-tindakan ini tiada niat untuk mencari atau mencapai keamanan. Bagaimanakah mungkin untuk kita mempercayai Majlis ini, dengan keamanan dan keselamatan, apabila keputusan Majlis dilanggar secara terang-terangan? ” soal Pandor dalam sebuah ucapan yang penuh bersemangat.

“Dengan sokongan antarabangsa yang semakin merosot dan tanpa usaha yang bersungguh-sungguh untuk berunding dengan jujur, harapan Palestin semakin menghilang. Palestin seolah-olah menjadi orang yang dilupakan,” Pandor mengingatkan dengan bersungguh-sungguh.

Untuk memperbaiki kredibiliti PBB yang tercemar disebabkan isu berkenan, Pandor berkata bahawa Majlis Keselamatan mesti bertegas untuk mendapatkan laporan bertulis yang tetap tentang pelaksanaan keputusan dan resolusi Majlis, dan membuat lawatan ke kawasan terjajah Palestin. “Kita kehilangan kredibiliti sebagai sebuah institusi apabila kata tidak dikota,” nasihat Pandor.

Duta Palestin ke Afrika Selatan, Hashem Dajani, mengalu-alukan kenyataan Pandor, mengatakan ia adalah “peringatan tentang tugas yang memang sepatutnya telah dilaksanakan oleh PBB beberapa dekad yang lalu di Timur Tengah, terutama dalam menegakkan hak-hak sah rakyat Palestin untuk mengecapi kebebasan dan kemerdekaan.”

Jurucakap Hamas, Bassem Naim, menyatakan penghargaan ke atas ucapan tegas Pandor. “Kami bersetuju sepenuhnya dengan rumusan Pandor mengenai kegagalan komuniti antarabangsa secara amnya dan Majlis Keselamatan khususnya, untuk melindungi hak Palestin dan memaksa Israel untuk menghormati dan melaksanakan resolusi-resolusi Majlis.”

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul