Jordan Larang Warga Israel Masuk Kawasan Baqurah Dan Ghamar

Isnin, 11-11-2019 – Jordan memaklumkan kepada pihak penjajah Israel, bahawa pihak mereka melarang warga Israel memasuki kawasan Baqurah dan Ghamar yang menjadi sebahagian wilayah Jordan mulai Ahad depan, hal itu sesuai dengan berakhirnya kesepakatan penyewaan tanah antara Israel dan kerajaan Jordan.

Media Israel menyebutkan bahawa pihak Jordan dalam beberapa minggu terakhir menolak usul Israel untuk memasukkan syarat pembebasan dua tawanan Jordan; Heba Labdi dan Abdul Rahman Mari dalam perjanjian wilayah Baqurah dan Ghamar atau memberi tempoh waktu kepada para petani Israel sehingga mereka mendapatkan tanah pertanian baru.

Laman sesawang 124 Israel menyatakan, para pegawai tinggi Jordan ketika melakukan rundingan dengan delegasi Israel memperingatkan tentang kesan negatif jika Israel terus melakukan pelanggaran dalam masalah ini terutama terhadap hubungan diplomatik antara Jordan dan Israel.

Kesepakatan yang dicapai antara Jordan dan Israel menyebutkan bahawa wilayah Baqurah dan Ghamar disewakan kepada Israel selama 25 tahun, kemudian dikembalikan kepada Jordan apabila perjanjian berakhir.

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman