Turki kecam niat Israel untuk membina beratus2 penempatan.

Isnin, 11-11-2019 – Kementerian Luar Turki pada hari Rabu mengutuk keputusan Israel untuk membina lebih 2,000 unit rumah baru di petempatan di kawasan terjajah di Tebing Barat, dan menyifatkan ianya sebagai suatu tindakan haram.

Kelulusan yang diberikan oleh pihak berkuasa Israel bulan lalu untuk pembinaan sebanyak 2,342 unit rumah baru yang melibatkan pelbagai peringkat perancangan di Tebing Barat adalah satu contoh yang baru dan jelas mengenai dasar kejuruteraan demografi negara, menurut agensi berita Anadolu sebagai memetik kementerian berkenaan.

“Kami menentang keputusan tidak sah Israel ini, yang membelakangi undang-undang antarabangsa dan melanggar hak asasi rakyat Palestin dan menyeru semua anggota masyarakat antarabangsa untuk memenuhi tanggungjawab mereka untuk menentang penindasan dan pendudukan rakyat Palestin,” kata kementerian itu.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi yang diterima pakai pada 23 Disember 2016 menyatakan bahawa kegiatan pendudukan Israel merupakan “pelanggaran terang-terangan” undang-undang antarabangsa dan “tidak mempunyai kesahihan undang-undang”. Resolusi 2334 telah menggesa Israel untuk menghentikan kegiatan tersebut dan memenuhi kewajipannya sebagai kuasa yang menduduki.

Kesatuan Eropah pada hari Isnin lalu telah menyatakan bahawa semua aktiviti penempatan di tanah terjajah adalah haram dan “menghakis daya maju” penubuhan negara Palestin.

Israel telah melancarkan pelan untuk lebih 8,300 rumah penempatan di Tebing Barat tahun ini, yang bersamaan dengan lima peratus peningkatan keseluruhan berbanding tahun 2018, menurut kumpulan pemerhati anti-petempatan Peace Now.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul