Amnesty International : Penempatan Israel adalah jenayah perang.

Jumaat, 22-11-2019 – Pertubuhan Amnesty International pada hari Selasa telah mengutuk pengumuman oleh Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa AS tidak akan mengiktiraf petempatan Israel di Tebing Barat sebagai tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.

Ini dinyatakan dalam satu kenyataan oleh organisasi antarabangsa berkenaan sebagai tindak balas terhadap keputusan yang diumumkan oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo, pada hari Isnin lepas.

“Hari ini, kerajaan Amerika Syarikat menunjukkan kepada seluruh dunia bahawa ia percaya AS dan Israel terkecuali dari undang-undang: bahawa Israel boleh terus melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi warga Palestin, dan Amerika Syarikat akan memberikan sokongan padu  terhadap tindakan demikian,” menurut Amnesty International.

Ia menambah, “Pengumuman AS tidak sama sekali mengubah undang-undang yang sangat jelas sama ada sekarang mahupun di masa akan datang: pembinaan dan pengekalan petempatan di Tebing Barat Terjajah, termasuk Baitulmaqdis Timur, melanggar undang-undang antarabangsa dan adalah suatu jenayah perang.”

Masyarakat antarabangsa rata-rata menganggap pendudukan Israel di Wilayah Palestin yang Terjajah adalah bertentangan dengan undang-undang, berdasarkan Konvensyen Geneva Keempat yang menetapkan bahawa kuasa yang menduduki tidak dibenarkan untuk memindahkan penduduknya sendiri ke wilayah yang dikuasainya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul