Rejim Zionis cederakan warga Palestin ketika demonstrasi di Tebing Barat.

Rabu, 05-02-2020 – Rejim Zionis pada hari Isnin lalu telah mencederakan dua pemuda Palestin, salah seorang daripada mereka di mata, ketika menyuraikan penunjuk perasaan di bandar al-Khalil di Tebing Barat.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata dalam satu kenyataan ringkas bahawa seorang pemuda Palestin dikejarkan ke hospital selepas ditembak di mata dengan peluru logam bersalut getah oleh rejim Zionis ketika bertempur dengan penunjuk perasaan.

Seorang lagi warga Palestin cedera dalam tunjuk perasaan yang sama tetapi tiada maklumat lanjut mengenai keadaannya.

Pertempuran ganas meletus pada hari Isnin di antara belia Palestin dan tentera Zionis di kawasan Bab al-Zawiya di al-Khalil atas “rancangan damai”, yang juga dikenali sebagai “perjanjian abad ini”, yang telah diumumkan baru-baru ini oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul