Tun M : Pelan perdamaian Trump tidak adil.

Selasa, 11-02-2020 – Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamed, berkata perjanjian damai Israel-Palestin yang diumumkan oleh presiden Amerika Syarikat Donald Trump adalah “tidak dapat diterima” dan “amat tidak adil”.

“Rancangan itu, yang digelar “Perjanjian Abad Ini”oleh Trump, menyerahkan bulat-bulat bandar suci Baitulmaqdis kepada Israel dengan tidak menghiraukan perasaan berjuta-juta umat Islam dan Kristian di seluruh dunia,” kata Mahathir dalam ucapannya di Kuala Lumpur Sabtu lalu.

“Perjanjian ini hanya akan mencetuskan lebih banyak konflik di rantau ini, dan akan menimbulkan ketidakpuasan hati berbilion-bilion orang di seluruh dunia,” kata Mahathir pada persidangan ketiga Liga Parlimen al-Quds.

Trump mendedahkan cadangannya di majlis Rumah Putih pada bulan lepas bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu. Pegawai-pegawai Palestin tidak dirunding mengenai cadangan itu.

Pendekatan Rumah Putih yang membawa kepada rancangan itu telah lama dikritik di peringkat antarabangsa kerana menyediakan Israel dengan kemenangan segera sambil mengorbankan hak Palestin dan aspirasi mereka untuk negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul