Hamas seru kempen dan tolak Deal of the Century

Jumaat, 14-02-2020 – Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) telah menyeru rakyat semua negara Islam untuk menganjurkan secara besar-besaran dan mengambil bahagian secara aktif dalam kempen dan perhimpunan untuk menyokong rakyat Palestin, serta meningkatkan ketabahan mereka dalam menghadapi perjanjian abad ini dari Amerika Syarikat.

Dalam satu kenyataan pada hari Isnin, jurucakap Hamas Abdul-Latif Qanua memuji tindakan rakyat semua negara bebas dan perhimpunan-perhimpunan ramai di seluruh dunia yang telah menzahirkan perpaduan mereka dengan rakyat Palestin dan penolakan rancangan perdamaian yang diperkenalkan baru-baru ini oleh pentadbiran Amerika Syarikat.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengumumkan rancangan damai pro-Israel ketika sebuah majlis di Rumah Putih bulan lepas bersama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di hadapan beberapa  para pegawai dari negara-negara Teluk.

Pelan ini telah dikutuk masyarakat antarabangsa, dunia Arab dan negara-negara Islam, walaupun ada segelintir rejim Arab dari Arab Saudi dan UAE yang telah menyuarakan sokongan mereka terhadap rancangan berkenaan dan dipercayai menjadi antara dalang utama pelan tersebut.

Masyarakat antaraangsa telah lama mengecam pendekatan Rumah Putih yang membawa kepada pelan tersebut kerana memberikan Israel jalan mudah sambil mengorbankan hak hakiki rakyat Palestin dan aspirasi mereka untuk negara Palestin yang bebas dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negaranya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul