Tahanan dihantar semula ke hospital selepas kesihatan makin merosot

Selasa, 25-02-2020 – Seorang tahanan yang sedang menderita penyakit kanser Muwafaq Arouk, 77, telah dimasukkan semula ke hospital Israel selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, menurut Suruhanjaya Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan Palestin pada hari Ahad lalu.

Suruhanjaya itu berkata bahawa Arouk mengalami pelbagai komplikasi kesihatan, termasuk sakit teruk, demam, penurunan berat badan dan ketidakupayaan untuk makan atau minum.

Menurut suruhanjaya berkenaan, Arouk kini diberi ubat penahan sakit, dan hanya mengambil cecair dan analgesik.

Arouk disahkan menghidap penyakit kanser hati dan usus pada Julai 2019, tetapi Perkhidmatan Penjara Israel telah melewat-lewatkan pemindahan beliau ke hospital untuk rawatan kemoterapi sehingga November 2019, hanya selepas keadaan kesihatannya semakin merosot.

Terdahulu pada bulan Februari, Arouk telah menjalani pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di usus tetapi telah dikembalikan ke penjara Ramla hanya dua minggu selepas pembedahan, tanpa menghiraukan keadaan kesihatannya yang serius.

Arouk, 77 tahun, berasal dari wilayah terjajah 1948. Beliau telah berada di penjara Israel sejak tahun 2003 untuk menjalani hukuman penjara selama 30 tahun. Beliau adalah salah seorang daripada 10 orang tahanan di penjara Israel yang menghidap pelbagai jenis kanser.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul