Delegasi Hamas Melawat Moscow & Kaherah

Selasa, 03-03-2020 – Dua delegasi dari Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) akan tiba di Kaherah dan Moscow pada hari Ahad.

Jurucakap Hamas Hazem Qasem berkata delegasi yang diketuai oleh ahli biro politik Hamas, Rawhi Mushtaha, dijadual melawat Kaherah pada hari Ahad untuk berbincang dengan pegawai Mesir.

Perbincangan itu dijangka berkisar mengenai situasi semasa di Semenanjung Gaza akibat kepungan Israel, isu politik dalaman Palestin, keamanan sempadan, dan hubungan dua hala.

Satu lagi delegasi yang diketuai oleh ketua biro politik Hamas, Ismail Haneyya, telah menuju ke ibu kota Rusia, Moscow.

Hazem Qasem berkata kunjungan itu dibuat atas undangan pemerintah Rusia untuk membincangkan hubungan dua hala.

Delegasi Hamas juga akan memberi taklimat kepada kerajaan Rusia tentang pencerobohan Israel yang sedang berlaku terhadap rakyat Palestin, khususnya di Gaza, Baitulmuqaddis dan Tebing Barat, serta ancaman yang bakal timbul disebabkan oleh “rancangan perdamaian” AS-Israel untuk Timur Tengah, yang dikenali sebagai “perjanjian abad ini”.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul