Tentera Laut Israel Lancar Serangan Baharu di Perairan Gaza

Isnin, 18-05-2020 – Tentera laut rejim Zionis pada pagi Rabu lalu telah melancarkan serangan tembakan baharu terhadap nelayan Palestin dan kapal mereka di perairan ke utara Gaza.

Sumber tempatan mengatakan bahawa bot pembedil Israel telah melepaskan tembakan senapang mesingan ke arah beberapa bot nelayan semasa mereka berada dalam jarak lima batu nautika dari pantai utara Kota Gaza.

Tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan tembak itu.

Baru-baru ini, tentera laut Israel telah mempertingkatkan serangan ke atas nelayan Gaza dan kapal mereka.

Pasukan tentera laut Israel dan kapal perang mereka akan berada berhampiran dengan nelayan Gaza hampir setiap hari, sambil mengganggu, menembak dan merosakkan kapal mereka serta membuat penangkapan. Kadang kala serangan bersenjata berkenaan akan menyebabkan nelayan cedera atau terbunuh.

Di bawah perjanjian Oslo 1993, nelayan Palestin diizinkan memancing sehingga sejauh 20 batu nautika di perairan Gaza, tetapi semenjak itu Israel telah terus-menerus mengurangkan kawasan penangkapan ikan secara bertahap sehingga ke had antara enam hingga tiga batu nautika sebagai sebahagian daripada sekatannya ke atas Gaza.

Nelayan dan kumpulan hak asasi manusia juga mengatakan bahawa sejak perang 2008-09 di Gaza, tentera Israel telah menguatkuasakan sekatan yang malah lebih dekat ke pantai.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul