Tahanan Pentadbiran Palestin Mogok Lapar Hari Ke-8

Khamis, 21-05-2020 – Tahanan Palestin Sami Janazra, 47, sudah berada pada hari ke-8 mogok lapar yang dilakukannya di penjara Israel sebagai membantah penahanannya tanpa tuduhan atau perbicaraan.

Beberapa hari lalu Mahkamah Agung Israel telah menolak petisyen yang diajukan terhadap perintah penahanan pentadbiran yang dikeluarkan terhadap Janazra yang telah menjalani beberapa hukuman penjara berjumlah kira-kira 11 tahun di penjara Israel, yang kebanyakannya dalam tahanan pentadbiran.

Saudara lelaki Sami, Kayed Janazra, mengatakan bahawa ketika Sami ditangkap pada 16 September 2019, beliau serta merta telah dihukum penjara empat bulan tanpa tuduhan mahupun perbicaraan. Tempoh penjara berkenaan kemudiannya telah dilanjutkan selama empat bulan lagi.

Janazra, seorang penduduk kem pelarian al-Fawwar di al-Khalil dan bapa kepada tiga orang anak, telah melancarkan mogok lapar selama 76 hari pada tahun 2015/2016, serta sekali lagi  pada tahun 2017 selama 43 hari, juga sebagai bantahan ke atas penahanan pentadbirannya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul