Aktivis Gesa Umat Islam Untuk Tingkatkan Kehadiran di Aqsa Pada Hari Jumaat

Jumaat, 5-6-2020 – Aktivis media sosial Baitulmaqdis menggesa para jemaah Muslim untuk mempertingkatkan kehadiran mereka di Masjidil Aqsa pada hari Jumaat ini, terutama untuk solat Subuh dan solat Jumaat.

Para aktivis menggesa semua warga di Baitulmaqdis dan sesiapa sahaja yang dapat memasuki kota tersebut untuk menuju ke Masjidil Aqsa bersama keluarga mereka menjelang waktu subuh hari Jumaat untuk memperbaharui tekad untuk melindungi tempat suci berkenaan daripada rancangan berterusan Israel untuk mengawal kawasan berkenaan serta menjadikan kawasan tersebut kawasan Yahudi.

Mereka mengatakan bahawa kehadiran ramai para jamaah Muslim untuk solat Subuh di Masjid tersebut akan mencerminkan kemuliaan negara Islam berkenaan dan kesetiaan kepada tempat suci mereka.

Pada subuh Ahad lalu, pihak berkuasa Awqaf Islam di Baitulmaqdis Terjajah telah membuka kembali pintu Masjidil Aqsa kepada ribuan jemaah Muslim untuk menunaikan solat Subuh, setelah ditutup selama kira-kira dua setengah bulan sebagai langkah pencegahan terhadap koronavirus.

Pada waktu itu, pengarah Masjidil Aqsa Sheikh Omar al-Kiswani, telah meminta semua jemaah Muslim untuk mematuhi langkah-langkah anti-koronavirus dan arahan kesihatan dan bekerjasama dengan pekerja Masjid demi keselamatan mereka sendiri.

“Harus ada kesedaran agar kita dapat hidup bersama-sama dengan virus tersebut dan memastikan agar  al-Aqsa sentiasa dapat dibuka kepada para jemaah,” katanya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul