Jordan Kecam Aktiviti Israel di Tembok Barat Al-Aqsa

Jumaat, 19-06-2020 – Kementerian Luar Negeri Jordan, Rabu (17/6/2020), mengecam tindakan penjajah Israel yang terus melakukan aktiviti dan kegiatannya di tembok barat Masjid Al-Aqsa yang diberkati.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri Jordan, Dhaifullah Al-Fayez, dalam sebuah pernyataannya mengatakan, “Tembok barat adalah bahagian dalam yang tidak boleh dipisahkan dari Masjid Al-Aqsa.”

Al-Fayez menegaskan bahawa Wakaf al-Quds dan Kementerian Urusan Al-Aqsa adalah pihak yang memiliki otoriti eksklusif dan kuasa untuk mengelola semua urusan Masjid Al-Aqsa di bawah undang-undang antarabangsa.

Beliau memperingatkan bahawa semua usaha pemeliharaan dan pemuliharaan di Masjid Al-Aqsa, yang meliputi kawasan 144 dunam (1 dunam = 1000 meter persegi), termasuk pagar-pagar masjid, berada dalam otoriti eksklusif dan bidang kuasa khusus Kementerian Wakaf al-Quds.

Beliau menegaskan bahawa penjajah  Israel perlu menghormati kewajiban dan komitmennya dalam perkara ini dan menghentikan aktiviti dan kegiatannya dengan segera.

Beliau menyeru agar penjajah Israel memberi komitmen terhadap status historis dan undang-undang  di Masjid Al-Aqsa. Sebagai kuasa pemerintah, penjajah Israel perlu bertanggungjawab penuh terhadap keselamatan Masjid Al-Aqsa dan dindingnya.

 Al-Fayez menjelaskan bahawa Kementerian Luar Negeri  Jordan sudah mengirim nota protes rasmi kepada penjajah Israel berkait usaha dan aktiviti yang dilakukan di tembok barat Masjid Al-Aqsa. 

sumber : https://melayu.palinfo.com/
penterjemah : osman