Malaysia Tolak Rancangan Pengilhakan Israel

Jumaat, 19-6-2020 – Ketua negara Malaysia Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengesahkan penolakan baginda terhadap rancangan Israel untuk mengilhakkan sebahagian tanah Palestin, dan menitahkan agar semua rakyat Malaysia agar mendoakan rakyat Palestin yang terus menerus ditindas oleh Israel.

Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, mengatakan bahawa Seri Paduka telah menzahirkan keprihatinan baginda yang mendalam terhadap perjuangan Palestin.

Beliau juga mengesahkan sokongan Seri Paduka Baginda terhadap usaha Malaysia untuk terus bekerjasama dengan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan masyarakat antarabangsa yang menentang rancangan Israel untuk mengilhak sebahagian tanah Palestin.

“Seri Paduka Baginda percaya bahawa kebebasan rakyat Palestin dapat direalisasikan jika mereka diberi sokongan berterusan untuk menubuhkan sebuah negara merdeka di wilayah Palestin yang dijajah oleh Israel sejak 1967, termasuk Baitulmaqdis Timur,” kata kenyataan itu.

Baginda menitahkan agar supaya semua rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama, untuk berdoa mengikut kepercayaan masing-masing supaya hak Palestin akan dilindungi dan mereka akan segera bebas dari penjajahan Israel.

Baginda juga menyatakan harapan agar semua rakyat Malaysia terus menegakkan prinsip keadilan dan saling hormat menghormati, selain menolak segala bentuk keganasan sesama umat manusia.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul