Rabai Glick dan Penceroboh Lain Cemar Masjid Al-Aqsa

Jumaat, 17-07-2020 – Rabai ekstremis Yehuda Glick adalah antara puluhan penceroboh Yahudi yang mencemar Masjid Al-Aqsa di bawah pengawasan ketat polis untuk hari ketiga berturut-turut.

Menurut sumber tempatan, 54 penceroboh telah memasuki Masjid melalui Pintu al-Maghariba dan membuat lawatan di sekitar halamannya secara berkumpulan.

Sebilangan penceroboh juga dilihat menjalankan upacara keagamaan Yahudi di kawasan timur Masjid setelah pegawai polis mengusir jemaah Muslim secara paksa.

Menurut saksi, sekumpulan peneroka, termasuk Glick, beberapa pegawai serta seorang pegawai dari pihak berkuasa purba Israel, juga telah mencemarkan bangunan solat Masjid Al-Aqsa.

Setiap hari, Masjid Al-Aqsa terdedah kepada pencemaran daripada penceroboh Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.

Polis Israel menutup pintu al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki Masjid, pada pukul 10:30 pagi setelah para penceroboh menyelesaikan lawatan pagi mereka di tempat suci itu. Pada sebelah petang, pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan petang oleh penceroboh Yahudi.

Semasa kehadiran penceroboh di dalam perkarangan Masjid, sekatan masuk dikenakan ke atas jemaah Muslim di pintu masuk yang menuju ke Masjid dan kad pengenalan mereka dirampas sehingga mereka meninggalkan tempat suci tersebut.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : ezatul