Pelampau Yahudi membakar masjid di Al Bireh.

Khamis, 30-07-2020 – Para pelampau yahudi telah membakar sebuah masjid di kota al-Bireh di Daerah Ramallah pada Isnin yang lalu. Mereka juga telah melakar lukisan yang berunsur rasis menggunakan cat penyembur di dalam masjid tersebut.

Sumber tempatan mengatakan bahawa mereka menyelinap masuk ke kota tersebut pada waktu malam dan memenuhi dinding masjid tersebut dengan kata-kata yang bersifat melampau dan rasis keatas orang Arab dan Muslim sebelum membakar sebahagian masjid tersebut.

Penduduk Palestin di al-Bireh bergegas ke lokasi setelah mereka terhidu bau asap dan berjaya memadamkan kebakaran tersebut sebelum api tersebut marak yang boleh mengakibatkan bahagian masjid yang lain juga terbakar.

Kementerian Awqaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengecam pembakaran ini dan tindakan ini juga menjelaskan mentaliti Israel yang rasis dan bersifat radikal. Mereka juga menuduh kerajaan Israel kerana menyokong tindakan pelampau yahudi ini.

Serangan pembakaran pelampau ini di masjid-masjid Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis menyaksikan peningkatan ketara dalam beberapa tahun terakhir. Namun, mereka jarang disiasat oleh pihak berkuasa Israel.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : hanafi