Khalid Mish’al ke Riyadh Memenuhi Jemputan Raja Saudi


Isnin, 28/1/08 – Riyadh: -Delegasi Hamas yang diketuai Ketua Biro Politiknya, Khalid Mish’al tiba di Riyadh untuk menyambut jemputan pemimpin tertinggi Arab Saudi untuk membincangkan konflik dalaman Palestin.

Muhammad Nazal, anggota biro politik Hamas menjelaskan bahawa kunjungan delegasi Hamas ke Riyadh kali ini adalah usaha pemerintah Saudi meredakan ketegangan konflik dalaman Palestin, antara Fatah dan Hamas. Namun Nazal menolak perbincangan jika kunjungan ini dalam kerangka inisiatif yang bersifat komprehensif dan menyatakan bahawa kuasa berada di pihak Mahmud Abbas, Ketua Pihak Autoriti Palestin (AP) yang sering menolak berdialog dengan Hamas hingga kini.

Nazal menyampaikan kekecewaannya atas sikap Abbas yang menolak inisiatif Mesir untuk menjalankan dialog antara Fatah dengan Hamas. Beliau juga menyatakan Abbas sebagai pihak yang bertanggungjawab atas kegagalan dialog dan menuduhnya sangat bergantung kepada pihak Amerika dan Zionis ‘Israel’ dalam menolak inisiatif Mesir tersebut.

“Sehingga kini reaksi terhadap usul Mesir dari pihak Abbas sangat negatif,”tambah Nazal yang mengatakan bahawa sikap Abbas ini berkait dengan adanya syarat tertentu yang perlu dipenuhi Hamas sebelum mengadakan kembali dialog.

Nazal juga menafikan kemungkinan mengadakan dialog untuk menamatkan perbezaan politik antara Fatah dan Hamas dalam waktu terdekat ini. “Saya tidak yakin dialog terbuka itu boleh dilaksanakan dalam waktu terdekat ini. Kalaupun terjadi itu hanya sekadar membincangkan isu pintu masuk Rafah yang memang perlu dibincangkan oleh pemerintah Ismail Haneya dengan pihak pimpinan AP,” tambah Nazal.

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.
One Comment

Comments are closed.