Puluhan Peneroka Haram dan Pasukan Polis Cemari Masjid Al Aqsa

Jumaat, 11-9-2020 –  Berpuluh- puluh peneroka haram Yahudi pada pagi Rabu lalu telah mencemari  Masjid Al Aqsa di Baitulmaqdis Yang Diduduki di bawah pengawasan polis.

Menurut Jabatan Awqaf Islam, sekurang-kurangnya 53 orang peneroka haram telah memasuki Masjid melalui Pintu al-Maghariba dalam kumpulan yang berlainan dan melakukan lawatan di halamannya di bawah pengawasan polis.

Sebilangan peneroka haram juga cuba menunaikan solat Yahudi di kawasan timur Masjid. Sementara itu, 23 anggota polis telah memasuki dan memeriksa kubah bangunan solat Masjid.

Masjid Al Aqsa setiap hari terdedah kepada pencemaran oleh peneroka Yahudi dan pasukan polis pada waktu pagi dan petang kecuali pada hari Jumaat dan Sabtu.

Polis Israel menutup Gerbang al-Maghariba, yang digunakan oleh orang Yahudi untuk memasuki Masjid, pada pukul 10:30 pagi setelah para peneroka haram menyelesaikan lawatan pagi mereka di tempat suci itu. Pada sebelah petang, pintu yang sama dibuka semula untuk lawatan petang oleh peneroka haram.

Semasa kehadiran peneroka haram di perkarangan Masjid, sekatan masuk dikenakan ke atas jemaah Muslim di pintu masuk yang menuju ke Masjid dan kad pengenalan mereka dirampas sehinggalah mereka meninggalkan tempat suci berkenaan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul