Amaran Kerosakan Pada Jantung dan Mata Akhras

Khamis, 8-10-2020 –  Pada hari Selalsa lalu tahanan Maher Al-Akhras meneruskan mogok lapar terbuka untuk hari ke-72 sebagai bantahan terhadap penahanan pentadbiran yang tidak adil terhadapnya walaupun terdapat amaran tentang keadaan kesihatannya yang serius.

Qadri Abu Bakar, Ketua Lembaga Hal Ehwal Tahanan dan Bekas Tahanan, menyatakan bahawa keadaan tahanan Maher Al-Akhras bertambah buruk dari hari ke hari, dengan keengganannya untuk mengambil apa-apa makanan serta desakannya untuk meneruskan mogok sehingga tuntutan beliau untuk segera dibebaskan diterima.

Bakr memberi amaran bahawa penolakan rejim Zionis terhadap tuntutan Akhras dan perlanjutan mogoknya boleh membawa kepada kerosakan pada jantung, mata, atau telinganya setelah beliau menolak untuk mengambil apa-apa supplemen.

Keluarga Akhras sebelumnya telah menuntut campur tangan serius untuk menyelamatkan nyawanya sebelum terlambat, kerana dari semasa ke semasa beliau akan tidak sedarkan diri, tidak dapat bergerak, sering mengalami sawan, dan kadang-kala tidak tahu siapa yang berdiri di hadapannya.

Akhras mengatakan dalam sebuah pesan dari katilnya di Hospital Kaplan beberapa hari yang lalu: “Satu-satunya syarat saya adalah kebebasan, kebebasan atau mati syahid, dan di keduanya ada kemenangan bagi rakyat serta para tahanan.”

Pada 27/07/2020, Akhras ditahan oleh pihak berkuasa rejim Zionis yang telah memerintahkan penahanan pentadbiran ke atasnya selama empat bulan. Mahkamah Israel berusaha untuk menghalang mogok beliau dengan menggunakan apa yang digelar sebagai pembekuan terhadap penahanan pentadbiran, yang tidak bermaksud berakhirnya penahanannya.

Sejak awal mogok, Akhras telah dipindahkan berulang-ulang kali sebagai usaha untuk melemahkannya dan menghalangnya untuk meneruskan mogoknya. Pada awal penahanannya, beliau ditahan di pusat tahanan Hawara, kemudian dipindahkan ke penjara Ofer sehingga dia dipindahkan ke penjara Klinik Ramla dan akhirnya ke hospital Kaplan.

Akhras, 49, berasal dari bandar Silat al-Dhahr di Jenin. Rejim Zionis telah menahannya untuk pertama kali pada tahun 1989, dan penahanannya telah berterusan selama tujuh bulan. Kali kedua adalah pada tahun 2004 selama dua tahun, dan kemudiannya beliau ditahan semula pada tahun 2009 dan terus berada dalam tahanan pentadbiran selama 16 bulan. Beliau ditahan kembali pada tahun 2018 dan ditahan selama 11 bulan.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul