NAM lancar `Kempen Rakyat Global’ bantu warga Palestin


NEW YORK 30 Sept. – Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) akan melancarkan `Kempen Rakyat Global’ tidak lama lagi bagi menyokong perjuangan rakyat Palestin membentuk negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

“Kita perlu menjayakan segera Rancangan Damai Bagi Timur Tengah,” tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Pengerusi NAM semasa berucap pada Mesyuarat Peringkat Menteri NAM di sini hari ini.

Bagi menjayakan kempen tersebut, beliau mahukan pertubuhan 114 negara itu meletakkan isu Palestin sebagai keutamaan dalam agendanya, sejajar dengan komitmen mewujudkan dunia yang bebas daripada sebarang pertikaian dan perang.

“NAM perlu terus memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menentang pendudukan Israel dengan menumpukan segala usaha dan pengaruh,” katanya.
(gambar kanan)Pak Lah disambut oleh Presiden Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-59, Jean King setibanya di PBB, New York kelmarin. Adakah NAM mampu bergerak selain berbicara secara teori ?

Tindakan itu, tegas Abdullah, penting ekoran keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa terhadap pembinaan secara haram tembok pemisah oleh Israel di wilayah Palestin yang didudukinya.

Sambil menyatakan sudah sampai masanya NAM menterjemahkan pernyataan menjadikan tindakan yang konkrit, beliau mahu pergerakan yang dipimpinnya itu bergerak secara aktif dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam usaha mencegah dan mencari resolusi penyelesaian pertikaian.

Abdullah puas hati bahawa NAM kini lebih mendekati isu Palestin dengan proses dialog yang sedang berjalan melibatkan kuartet antarabangsa, anggota-anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan pihak-pihak lain yang berpengaruh.

Terdahulu, Abdullah yang juga Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) memberitahu wartawan Malaysia di sini bahawa beliau turut menekankan soal rancangan damai di Palestin semasa berbincang dengan Setiausaha Agung PBB, Kofi Annan dan Presiden Perhimpunan Agung PBB (UNGA) ke-59, Jean Ping di ibu pejabat PBB semalam.

Pada dua pertemuan itu, kata Abdullah, beliau menegaskan supaya rancangan damai itu yang diusahakan sekian lama diberi perhatian serius dan segera.

Antara kandungan rancangan itu ialah janji mewujudkan negara Palestin yang mempunyai sempadan berdaulat dan diiktiraf pada tahun depan; dan pada masa yang sama tiada lagi permusuhan dengan Israel.

Pertemuan berkenaan turut memperakukan betapa keadaan di Iraq sekarang cukup kompleks dan amat membimbangkan, seolah-olah tiada pihak lagi yang mampu menghentikan keganasan yang berlaku setiap hari.

Abdullah menggesa supaya PBB berusaha mengatasinya lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya di Iraq Januari ini, supaya rakyatnya dapat memilih kerajaan dalam keadaan proses pilihan raya yang baik.

Beliau juga menegaskan kepada Annan dan Ping bahawa keadaan kelam kabut di Iraq itu berpunca daripada peranan Amerika Syarikat (AS) yang melebih-lebih dan tidak dapat diterima sama sekali oleh rakyatnya yang menganggapnya tentera penceroboh, menyebabkan pertentangan berterusan.

Malahan, pasukan tentera pelbagai negara juga tidak dapat diterima oleh rakyat Iraq kerana ia dipimpin oleh AS walaupun mendapat restu PBB.

Oleh itu, kata Abdullah, kemarahan rakyat Iraq yang memuncak itu mungkin dapat diatasi jika PBB sendiri mengambil alih dengan menghantar pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB.

Bagaimanapun, kata Abdullah, Annan menjelaskan PBB kurang kemampuan untuk berbuat demikian lebih-lebih lagi dalam keadaan buruk dan sukar dikawal sekarang apalagi dihentikan.

Pertemuan dengan Annan juga membincangkan soal masalah di Darfur, Sudan yang perlu diatasi segera bagi mengelakkan sekatan ekonomi yang diura-ura hendak dilakukan kerana jika itu berlaku, rakyat negara itu akan menderita.

Kata Abdullah, beliau telah menghubungi Presiden Bashir supaya beliau dapat menyelesaikan masalah berbangkit dengan mengambil langkah-langkah berkesan.

Sementara itu pada mesyuarat peringkat menteri NAM, Abdullah berkata, satu mesyuarat khas mengenai Palestin telah dicadangkan yang akan melibatkan penyertaan pertubuhan-pertubuhan peringkat antarabangsa, wilayah dan serantau.

Dalam usaha memastikan keamanan sejagat, NAM juga perlu terus memperjuangkan kempen global perlucutan senjata khususnya berhubung persenjataan pemusnah besar-besaran.

Abdullah bagaimanapun menegaskan tumpuan yang sama banyak perlu diberikan kepada masalah `senjata konvensional’ yang sebenarnya membunuh lebih ramai manusia daripada senjata pemusnah besar-besaran.

Pada masa yang sama, katanya, NAM perlu secara aktif menangani ancaman daripada keganasan antarabangsa tetapi segala langkah mengatasi masalah itu perlulah konsisten dengan undang-undang antarabangsa dan diselaraskan oleh PBB.

Dalam keghairahan untuk mengejar matlamatnya, Abdullah mengingatkan seluruh anggota NAM betapa mustahaknya mereka mempertingkat perpaduan dan koordinasi.

Perpaduan dalam NAM akan membolehkan NAM menetapkan agenda-agendanya sendiri dan berusaha mempengaruhi keputusan-keputusan peringkat antarabangsa, sebelum semuanya itu dibuat dan dikenakan ke atas anggota-anggota NAM seperti dalam kebanyakan kes.

“Cabaran yang kita hadapi ialah untuk memastikan keanggotaan yang besar tidak akan menjejaskan kita dalam proses membuat keputusan secara sebulat suara.

`Kita perlu bersama-sama menjadikan pergerakan ini lebih efektif, efisien dan responsif terhadap nasib anggota-anggota, seperti yang telah dipersetujui pada Sidang Kemuncak NAM di Kuala Lumpur,” kata Abdullah.

Sementara itu beliau memberitahu NAM merancang untuk mengadakan mesyuarat peringkat menteri mengenai wanita tahun depan, bertujuan berkongsi pengalaman dan kemajuan wanita; serta meletakkan sasaran dan strategi baru. – Utusan

Posted in Uncategorized
Bookmark the permalink.
One Comment

Comments are closed.