Polis Israel Tahan Dua Gadis di Baitulmaqdis

Rabu , 21-10-2020 –  Polis Israel menahan dua gadis Palestin ketika mereka berada di Jalan Salah El-Din di Baitulmaqdis Yang Diduduki pada tengah hari Isnin lalu.

Ketegangan meningkat di kawasan itu ketika pemuda-pemuda Palestin berusaha untuk membebaskan kedua-dua gadis berkenaan dan pertembungan telah berlaku dengan polis Israel yang telah dikerahkan ke kawasan tersebut.

Saksi melaporkan bahawa polis Israel telah mengikat gadis-gadis itu dengan kasar dan membawa mereka ke pusat tahanan Israel di Baitulmaqdis.

Pihak berkuasa rejim Zionis terus-menerus mengganggu penduduk Baitulmaqdis dan mengenakan denda yang tinggi atas pelbagai sebab, yang terbaharunya adalah atas alasan melanggar sekatan coronavirus.

Pemerintahan Zionis baru-baru ini telah mempertingkatkan sasarannya terhadap penduduk Baitulmaqdis dengan menahan berpuluh-puluh belia setiap hari.

Sementara itu, pada hari Isnin lalu rejim Zionis juga telah menahan 5 orang Palestin, salah seorangnya adalah bekas tahanan dari Bethlehem, dan 4 yang lain dari kem pelarian Al-Aroub, di utara al-Khalil.

Rejim Zionis telah menyerbu kem pelarian, menyerbu dan menggeladah beberapa rumah kediaman sebelum menangkap empat pemuda tersebut, iaitu: Tamer Al-Badawi, Salim Jawabreh, Qusay Al-Badawi, dan Muhammad Al-Balasi.

Askar Zionis juga mendirikan pusat pemeriksaan tentera di pintu masuk ke bandar Saʻir dan Halhul dan menahan dan menggeledah kenderaan orang awam.

Di Bethlehem, rejim Zionis telah menangkap bekas tahanan, Abdul Hadi Hammad, setelah mereka menyerbu dan menggeledah kediamannya serta merosakkan isi kandungannya.

sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul